KETIKA seluruh dunia dilanda kegilaan aplikasi permainan Pokemon Go, Arab Saudi memperbaharui fatwa berkenaan permainan itu yang menyebutnya sebagai haram.

Fatwa asal dikeluarkan pada tahun 2001 ketika permainan itu diperkenalkan dalam bentuk kad, mengklasifikasikan permainan itu sebagai haram kerana mempunyai unsur perjudian.

Laporan portal Arab News menyebut, salah seorang ahli Jawatankuasa Fatwa negara itu, Sheikh Saleh Al-Fozan berkata, versi terbaharu permainan itu mempunyai konsep yang sama seperti yang dikeluarkan 16 tahun lalu.

Setiausaha Rendah Universiti Al-Azhar, Abbas Shumman, bersetuju dengan pengklasifikasian itu atas dasar ia boleh 'membahayakan dan mengkhayalkan'.

Pokemon Go secara rasminya belum dilancarkan di Arab Saudi, namun ia dilaporkan sudah boleh dimuat turun.

Negara-negara seperti Kuwait dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) sebelum ini ada mengeluarkan larangan bermain permainan itu di masjid dan pusat beli-belah.