Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Potensi besar, anak muda berbakat mahu sukan papan selaju diangkat

Potensi besar, anak muda berbakat mahu sukan papan selaju diangkat
Bagi Mohd Iqmal Ishak, bakat yang ada tidak mahu disia-siakan begitu sahaja. Malah, dirinya optimis untuk menggorak langkah demi impian untuk mewakili negara pada satu hari kelak. -Gambar Astro AWANI
SIBU : Bagi sesetengah individu, permainan sukan papan selaju atau skateboard mungkin dianggap ekstrim dan berbahaya.

Namun tidak bagi anak muda, Mohd Iqmal Ishak, 18, yang menjadikan sukan tersebut sebagai hobi sejak kecil.

Melihat pada potensi yang ada, dia mahu sukan itu diangkat sama seperti sukan-sukan lain.

“Saya mula bermain papan selaju sejak saya berusia 12 tahun. Saya berminat dengan sukan ini sejak melihat abang-abang saya bermain secara aktif dalam sukan papan selaju ini,” katanya.  
Semestinya, minat yang ada ditambah dengan segala latihan yang dilakukan di Sibu Gateway bukan hanya untuk memenuhi masa lapang sahaja, malah Iqmal pernah mewakili Sarawak dalam kejohanan sukan tersebut di Sabah dan Kuala Lumpur.

“Sebenarnya, saya sudah banyak kali menyertai pertandingan tetapi pencapaian terbaik saya apabila dapat mewakili Sarawak sebanyak dua kali,” beritahunya semasa ditemu bual Astro AWANI.

Mohd Iqmal Ishak seringkali menjadikan Sibu Gateway sebagai tempat untuk mengasah kemahirannya dalam sukan ini. -Gambar Astro AWANI

Dedikasi yang dicurahkan diharap dapat membawa dirinya ke peringkat yang lebih tinggi pada satu masa nanti. -Gambar Astro AWANI

Kini, impian Iqmal tertumpu untuk mewakili negara ke peringkat antarabangsa.

Untuk permulaan katanya, dia menyasarkan untuk menyertai temasya Sukan Asia Tenggara.  

“Saya berharap dapat mewakili Malaysia dalam sukan SEA yang akan datang. Ini juga bertujuan untuk membawa lebih ramai generasi muda untuk sama-sama bergiat dalam sukan menarik ini,” kongsinya.


Iqmal secara peribadi turut berharap agar pihak berkaitan khasnya badan-badan sukan negara dapat memberi peluang untuk sukan ini berkembang agar ia dapat dibawa ke tahap yang lebih tinggi di masa akan datang.


Tag: AWANI Sarawak, Astro AWANI, Papan Selaju, Skateboard, Sibu, Sarawak, Mohd Iqmal Ishak, Sukan Asia Tenggara, SEA Games



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.