Tutup

Puteri mandi? Badak berendam? Tahi minyak?... mana datang nama-nama kuih ini?

Puteri mandi? Badak berendam? Tahi minyak?... mana datang nama-nama kuih ini?
Memang tidak dapat dinafikan rupa bentuk dan warna kuih-muih tradisional lebih kurang sahaja tetapi apa yang membezakannya ialah nama-nama kuih tersebut - Gambar BERNAMA
PERCAYA atau tidak, masih ramai lagi sebenarnya yang tidak tahu nama dan jenis kuih-muih yang dijual di bazar Ramadan.

Boleh dikatakan rata-rata masyarakat kita hanya tahu rupa bentuk kuih dan menikmatinya sahaja, namun tidak pernah terfikir asal-usul nama kuih tersebut dan dari mana datangnya.

Masyarakat kita ini bukan sahaja kreatif dengan mencuba pelbagai resepi, malahah nama-nama kuih juga pun memainkan peranan besar dalam membezakan kuih tersebut.

Berikut lapan jenis kuih yang mungkin kedengarah sangat pelik tetapi rasanya sungguh sedap sekali:

1) Puteri mandi

Kuih ini sebenarnya berasal dari negeri belah Pantai Timur.

Ia diberi panggilan ‘puteri mandi’ kerana prosesnya yang persis seperti seorang puteri yang dimandikan dengan air panas, serta ditambah dengan curahan air gula melaka dan isi kelapa parut.

Kuih puteri mandi

Resepinya yang menggabungkan tepung pulut dan gula melaka serta isi kelapa menjadikannya sebagai kuih yang kelihatan sangat mengancam di gerai bazar.

2) Badak berendam

Sekali dengar, pastinya anda sudah dapat mengagak yang mana satu kuih badak berendam ini jika ia disajikan dengan aneka kuih-muih yang lain.

Ia memang kelihatan seperti sekumpulan badak yang sedang berendam di dalam lumpur kerana bentuk bulatnya yang dicampur dengan daun pandan dan berinti kelapa.
Kuih badak berendam

Lumpur yang sebenarnya kuah itu mempunyai rasa lemak-lemak manis, ia semestinya badak yang perlu dicuba!

3) Tepung pelita

Identitinya sahaja pun sudah cukup memberitahu bentuk rasa kuih ini yang diperbuat daripada tepung gandum mahupun tepung beras yang diadun dengan santan cair dan kapur.

Bekasnya yang berwarna hijau itu sebenarnya kelihatan seperti diletakkan di atas pelita dan ia diperbuat daripada jus pandan dan gula tanpa santan.

Kuih tepung pelita

Warnanya yang tidak lain tidak bukan berwarna putih di atas dan hijau di bahagian bawah iaitu bekasnya.

4) Seri muka

Andai kata nama kuih ini datang daripada serinya yang menarik perhatian ramai orang, banyak lagi sebenarnya kuih yang kelihatan berseri-seri.

Kuih seri muka

Akan tetapi, ada yang mengatakan nama kuih ini bermula dari kisah dongeng yang bermula dengan seorang gadis.

Ia dipercayai bahawa beliau yang telah memakan kuih ini, lalu menjadikan mukanya berseri-seri seperti pantulan cahaya matahari.
5) Batang buruk

Buruk sangat ke rupa kuih ini sampai diberi nama begitu sekali?

Mungkin kerana rupanya seperti batang yang rapuh namun, itu semua hanyalah sekadar nama panggilan.

Sekali anda rasa kuih ini, pastinya susah untuk berhenti kerana rasanya yang begitu asyik.

Kuih batang buruk

Kacang hijau adalah asas keunikan dalam pembuatan batang buruk. Ia perlu dikopek dan digoreng sehingga kuning keemasan dan itu membezakan ia dengan kudapan yang lain dan sebenarnya ia adalah biskut dan dipercayai berasal dari kerajaan Bintan.

6) Tahi minyak

Nama makanan yang bukan sekadar pelik malah agak menjelikkan tetapi ia merujuk pada sisa pati santan yang terhasil dari proses pembuatan minyak kelapa dari santan.

Kalau kita bayangkan sendiri, pastinya batu-batu berlendir yang seperti sisa-sisa daripada bahan minyak yang digunakan untuk memasak.

Kuih tahi minyak


Jadi, jangan risau kalau anda dihidangkan dengan kuih tahi minyak. Tiada batu yang menanti untuk retakkan gigi anda.

7) Lompat tikam

Kuih ini mendapat namanya yang agak pelik kerana lemak santan (bahagian warna putih) dan tepung beras (bahagian warna hijau) disusun berselang seli.

Kuih lompat tikam

Makanan ini merupakan sejenis lagi kuih yang popular di Pantai Timur seperti Pahang, Terengganu dan Kelantan.

8) Sarang semut

Jangan risau! Jika anda makan kuih ini, tak mungkinlah ia membuatkan anda menjadi seorang pelupa.

Ia diberi nama kerana rupanya yang kelihatan seperti busut semut dan hiasan cip coklat di bahagian atas kuih ini menjadikan ia seperti dihurung oleh semut.

Memang tidak dapat dinafikan, kuih-muih tradisional ini lebih kurang sahaja rupa bentuk dan warnanya tetapi apa yang membezakannya ialah nama-nama kuih tersebut.

Kuih sarang semut

Negara kita ini bukan sahaja kaya dengan budaya dan bangsa, malah kita juga kaya dengan kuih-muih tradisional dan jika selama ini anda hanya reti makan sahaja kuih, kini anda sudah tahu rupa bentuk dan nama kuih tersebut.

Bulan inilah merupakan masa yang paling sesuai untuk mencari dan mencuba kuih-kuih yang ada di bazar Ramadan!

Tag: Ramadan, Kuih-muih, Pantai Timur, tradisional, puteri mandi, badak berendam, tahi minyak, sarang semut, batang buruk, seri muka, tepung pelita


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.