Seekor kucing bernama Bob yang disayangi dan disanjungi ramai dilaporkan telah tiada lagi selepas menghembuskan nafas terakhir pada 15 Jun lalu pada usia 14 tahun.

Bob merupakan kucing peliharaan penulis buku, James Bowen yang berasal dari Surrey, United Kingdom dan masing-masing bertemu buat pertama kali pada tahun 2007 di London.

Ketika itu, Bob ditemui dalam keadaan cedera dan terbiar sebelum diambil oleh Bowen dan dipeliharanya.

Hubungan mereka bertambah erat lantaran itu Bob sering mengiringi Bowen yang juga seorang pemuzik jalanan sambil menjual surat khabar ‘The Big Issue’ di sekitar kawasan Covent Garden di kota London.

Bowen, pada masa itu sedang berdepan dengan masalah penagihan dadah. Dia mula mengarang sebuah buku yang bertajuk ‘A Street Cat Named Bob’ lalu diterbitkan pada tahun 2013 dan laris terjual dan meraih populariti.

Buku tersebut mengisahkan tentang perjalanan kehidupan sehariannya bersama Bob.

Sejak penerbitannya, lebih sejuta naskhah laris terjual di UK sahaja dan turut diterjemahkan kepada 30 bahasa.

Ia juga kekal menjuarai carta senarai teratas buku terlaris di akhbar 'The Sunday Times' selama 76 minggu berturut-turut.

Tiga tahun kemudian, buku tersebut diadaptasi dalam bentuk filem dan mula ditayangkan pada tahun 2016 di mana Bob sendiri membuat penampilan dalam filem tersebut.

“Tidak akan pernah ada kucing seperti Bob lagi,” kata Bowen dalam satu kenyataan menerusi laman Facebook bukunya.

“Bob menyelamatkan hidup saya. Begitu sahaja. Bob bukanlah sekadar seekor peneman.

“Apabila dia berada di samping saya, saya menemui arah dan tujuan yang saya pernah kehilangan sebelum ini.

“Kejayaan kami dengan buku dan filem ini merupakan satu pencapaian yang ajaib.

“Bob telah bertemu dengan beribu-ribu orang, dan menyentuh hati ramai insan.

“Saya tidak akan melupakan Bob,” katanya lagi.

Selain buku ini, Bowen juga telah menerbitkan beberapa lagi karya sekuel yang bertajuk “The World According to Bob” dan “A Gift from Bob.”