Rohani, Batang Lupar dan geografinya

Rohani, Batang Lupar dan geografinya
Perjalanan menuju ke Batang Lupar sukar digambarkan namun cuba untuk diterjemahkan melalui barisan ayat. - Foto Youtube/Aaron Chong
BATANG LUPAR: Sebut sahaja Sungai Batang Lupar, pasti ramai yang teringat kisah si Bujang Senang, buaya gergasi yang mengganas di Sungai Batang Lupar puluhan tahun dahulu.

Namun, sebenarnya terselit kisah menarik disebalik Parlimen 201 itu.

Batang Lupar mengalir dari Banjaran Klinkang ke Laut China Selatan, sepanjang 275 kilometer.

Secara geografinya, Batang Lupar mempunyai pembukaan besar di bahagian muara dan sempit di hulu sungai.

Sejauh mana luar biasa Batang Lupar, berdasarkan perspektif ahli parlimennya?

Ahli Parlimen Batang Lupar, Datuk Seri Rohani Abdul Karim ketika ditemu bual mengenai sejarah kawasan itu.

Pengalaman pertama dan baharu

Wartawan Malissa Sahari bersama jurukamera Ahmad Amir Ariffin berpeluang merasai pengalaman berada di sana selama tiga hari.

Perjalanan menuju ke Batang Lupar sukar digambarkan namun cuba untuk diterjemahkan melalui barisan ayat.

Kuching  - Sebuyau - Triso
Sebelum sampai ke Batang Lupar, kami perlu menempuh  dua jam perjalanan atau bersamaan 205 kilometer dari Kuching ke pekan kecil Sebuyau yang terletak di sempadan Sri Aman dan Simunjan.

Seterusnya sampai di jeti Sebuyau, kami perlu menaiki feri atau ekspres yang mampu memuatkan 60 buah kenderaan pada satu satu masa yang kini sudah dua tahun beroperasi.

Perjalanan yang perlu kami tempuh selama dua jam nampak gayanya tidak sia sia.

Pada awalnya, permintaan feri bukanlah perkara mudah untuk Datuk Seri Rohani Abdul Karim suarakan.

"Saya perjuangkan untuk dapatkan feri dua tahun lepas semua orang mentertawakan. Saya mahu minta jambatan tidak sampai hati sebab memikirkan kos yang mahal kira-kira RM1 bilion.

"Namun, akhirnya alhamdulillah impian saya untuk bantu rakyat di Batang Lupar menjadi kenyataan apabila mendapat feri," katanya.

Ini merupakan jeti Sebuyau. - Credit Facebook/mysebuyau

Untuk makluman, feri itu merupakan satu-satunya perkhidmatan utama yang ada buat warga Sebuyau dan Triso.

Kami sama sekali tidak kekok atau singkol (bahasa Melayu Sarawak) ketika berbual dengan Datuk Seri Rohani.

Sifat ramah dan mudah mesra yang ada pada dirinya (Rohani) membuatkan kami, apatah lagi masyarakat setempat merasa dekat dan selesa dengannya.

Fenomena gelombang darat

Sesiapa yang pernah singgah di Batang Lupar, ujar Rohani akan merasai fenomena gelombang darat.

"Ini memang fenomena, jalannya akan terumbang-ambing gelombang ada orang kata lebih teruk gelombang darat berbanding gelombang laut.

"Ini kerana keadaan tanahnya mempunyai tanah gambut. Secantik mana pun tanah gambut itu ada beberapa ketika ia akan mendap balik, jadi keadaan terumbang-ambing itu akan ada.

"Tetapi saya biasa dengan keadaan ini kerana setiap minggu balik menjenguk masyarakat," katanya.

Apa sahaja yang dibualkan Rohani semuanya tentang fakta dan ilmu terutama sekali mengenai cabaran membangunkan Batang Lupar.

Rohani menjelaskan keadaan geografi yang dikelilingi sungai menyukarkan sedikit usaha pembangunan.

Semuanya kerana bentuk muka bumi Sarawak yang dikelilingi sungai. 

Beliau sempat berkongsi pengalaman saat ditukarkan dari Parlimen Santubong ke Batang Lupar pada 2004.

Ketika itu begitu banyak perancangan yang perlu beliau tambah baik semata-mata mahu mengkomersialkan Batang Lupar di mata dunia.

"DUN Sebuyau terkenal sebagai kawasan pengeluaran buah-buahan dan sayur-sayuran, DUN Beting Maro pusat perikanan dan DUN Lingga merupakan kawasan penanaman padi.

"Sudah ada pelabur yang menyatakan minat kepada saya untuk melabur dalam bidang pertanian di kawasan Parlimen Batang Lupar apabila melihat potensi kawasan ini. Apabila pelaburan masuk ekonomi rakyat di kawasan ini boleh meningkat," katanya.

Detik detik cemas pernah dilalui?

Beliau turut berkongsi debaran ketika menaiki sampan selepas pukul 4 petang.

Malah beliau turut menasihatkan supaya tidak menaiki sampan dari Eboi ke Sembangan selepas pukul 4 petang. 

"Pada waktu itu gelombang laut deras dan kuat. Ya Allah saya amat takut. Pada waktu itu ada dua buah bot. Kalau bukan bot saya yang tenggelam pasti bot satu lagi. Tetapi alhamdulillah kedua-dua bot selamat.

"Kalau ada kesempatan, singgahlah di Sebuyau (Dun Beting Maro), lubuk ikan terubok, nak merasai gula melaka atau gula apong (bahasa Sarawak) datang pula ke Pusa, atau jika berniat nak bawa buah tangan buat orang tersayang, belilah beras huma Lingga," ujarnya kemas.

Pemandangan kawasan Sebuyau, Sarawak.