KANDUNGAN gula yang berlebihan dalam air berkabonat dan pengambilan yang kerap boleh menyebabkan seseorang itu mengalami sakit gigi.

Ini yang terjadi kepada seorang lelaki yang gemar meminum minuman berkabonat sehingga menyebabkan giginya hilang dan rosak.

Michael Sheridan akan meminum sekurang-kurangnya enam liter air berkabonat setiap hari. Akibatnya, dia terpaksa membuang kesemua 27 giginya yang rosak.

Keadaan gigi Michael yang rosak akibat minuman berkabonat berlebihan. Sumber: Youtube/@MeathChronicle

Dek kerana obsesinya terhadap air bergula itu, dia sanggup menahan sakit sehingga menyebabkan dia terpaksa makan makanan lembut lebih 10 tahun.

“Saya tahu jika saya berjumpa doktor gigi untuk mengubat sakit gigi saya, saya akan terpaksa untuk berhenti minum air berkabonat dan saya tidak mahu berhenti.

“Saya juga tidak mempunyai wang yang banyak untuk mengubat penyakit ini. Mujur seorang rakan yang merupakan seorang doktor gigi ingin membiayai perubatan ini,” katanya seperti yang dipetik dalam laporan portal Mirror.co.uk.

Michael selepas mendapat rawatan. Sumber: Youtube/@MeathChronicle

Michael dalam satu video menerima rawatan November lalu kini mempunyai sepasang gigi yang cantik dan boleh senyum seperti orang lain.