Samak tak samak? Dr Maza huraikan perihal najis babi dari kaca mata ulama

Samak tak samak? Dr Maza huraikan perihal najis babi dari kaca mata ulama
Dalam kejadian Selasa lalu, Jemaah yang sedang menunaikan solat di sebuah masjid di Sungai Plong, di sini, gempar apabila seekor babi hutan tiba-tiba merempuh masuk ke dalam dewan solat. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Berikut adalah huraian Mufti Perlis, Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berhubung pandangan ulama berkaitan kebimbangan orang ramai mengenai hukum najis babi (khinzir):

1. Kita tidak patut mengandaikan perkara yang kita tidak nampak. Asal sesuatu yang bersih itu kekal dianggap bersih sehingga terbukti secara yakin ia telah dicemari najis. Andaian ataupun syak tidak mengubah status asal yang bersih itu.

2. Apa yang disebut dalam hadis tentang basuh dengan air tanah ialah anjing. Ini seperti sabda Nabi s.a.w :
طَهُورُ إِنَاءِ أَحَدِكُمْ إِذَا وَلَغَ الْكَلْبُ فِيهِ، أَنْ يَغْسِلَهُ سَبْعَ مَرَّاتٍ
“Apabila anjing menjilat bekas seseorang kamu, maka basuhlah sebanyak tujuh kali. Salah satunya dengan tanah” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim, lafaz Muslim).
Hadis ini hanya menyebut jilatan (dalam riwayat al-Bukhari minuman) anjing dan tiada satu pun hadis yang menyebut khinzir.

BACA;  Babi hutan sesat dalam masjid, jemaah cedera disondol

3. Al-Imam al-Nawawi r.h (meninggal 676H) merupakan tokoh terbilang dalam Mazhab al-Syafi’i. Ketika al-Nawawi mensyarahkan hadis di atas dalam kitab al-Minhaj Syarh Sahih Muslim bin al-Hajjaj yang merupakan kitab Syarh Sahih Muslim yang terkenal, beliau menyebut:
وَأَمَّا الْخِنْزِيرُ فَحُكْمُهُ حُكْمُ الْكَلْبِ فِي هَذَا كُلِّهِ هَذَا مَذْهَبُنَا وَذَهَبَ أَكْثَرُ الْعُلَمَاءِ إِلَى أَنَّ الْخِنْزِيرَ لَا يَفْتَقِرُ إِلَى غَسْلِهِ سَبْعًا وَهُوَ قَوْلُ الشَّافِعِيِّ وَهُوَ قَوِيٌّ فِي الدَّلِيلِ
(Adapun khinzir maka hukumnya sama seperti hukum anjing dalam semua aspek tersebut. Ini pendapat mazhab kita. Adapun majoriti ulama berpendapat bahawa khinzir tidak memerlukan basuhan sebanyak tujuh kali (seperti yang dalam hadis anjing di atas). Inilah merupakan pendapat (al-Imam) al-Syafi’i. Inilah (pendapat tidak wajib basuh tujuh kali berserta tanah) merupakan pendapat yang KUAT dari segi dalil) (3/185, Beirut: Dar al-Turath al-Arabi).
Ertinya, al-Imam al-Nawawi menyokong pendapat majoriti para ulama iaitu kenajisan khinzir hanya dibasuh seperti najis yang lain tanpa memerlukan tujuh kali air dan tanah.


4. Bahkan dalam kitab al-Majmu’ Sharh al-Muhazzab pula, yang merupakan kitab teras dalam Mazhab al-Syafi’i, al-Imam al-Nawawi mengkritik anggapan yang mendakwa bahawa telah ijmak (sepakat semua para mujtahidin) tentang kenajisan khinzir. Kata al-Imam al-Nawawi:

نَقَلَ ابْنُ الْمُنْذِرِ فِي كِتَابِ الْإِجْمَاعِ إجْمَاعَ الْعُلَمَاءِ عَلَى نَجَاسَةِ الْخِنْزِيرِ وَهُوَ أَوْلَى مَا يُحْتَجُّ بِهِ لَوْ ثَبَتَ الْإِجْمَاعُ وَلَكِنَّ مذهب مالك طهارة الخنزير مادام حَيًّا وَأَمَّا مَا احْتَجَّ بِهِ الْمُصَنِّفُ فَكَذَا احْتَجَّ بِهِ غَيْرُهُ وَلَا دَلَالَةَ فِيهِ وَلَيْسَ لَنَا دَلِيلٌ وَاضِحٌ عَلَى نَجَاسَةِ الْخِنْزِيرِ فِي حَيَاتِهِ
(Ibn al-Munzir menukilkan dalam Kitab al-Ijma’ tentang ijmak ulama mengenai kenajisan khinzir. Ia (ijmak tersebut) jika benar sabit lebih utama untuk dijadikan hujah (tentang kenajisan khinzir). Namun, Mazhab Malik berpedapat kebersihan khinzir selagi ia masih hidup. Adapun apa yang dihujahkan oleh pengarang (maksud al-Nawawi ialah al-Imam al-Shirazi  pengarang Kitab al-Muhazzab) dan selain beliau, itu semua tiada hujah mengenainya. Kita tidak mempunyai dalil yang jelas mengenai kenajisan khinzir semasa masih hidup).(2/568, Beirut: Dar al-Fikr).

5. Jadi, pendapat yang mewajibkan membasuh kesan khinzir dengan air tanah adalah pendapat mazhab Syafi’i kerana mereka menyamakannya dengan anjing ataupun lebih najis dari anjing. Sementara majoriti ulama berpendapat memadai kesan khinzir itu dibasuh dengan air tanpa memerlukan tanah. Apa yang penting basuhan itu menghilangkan kesan najis tersebut. Ini kerana tiada dalil yang menyatakan khinzir wajib dibasuh sebanyak tujuh kali dan termasuk satu kali air tanah. 

6. Seperti yang dinyatakan tadi, pendapat ini disokong oleh tokoh besar Mazhab al-Syafi’i sendiri –walaupun ini berbeza dengan mazhabnya- iaitu al-Imam al-Nawawi (meninggal 676H) yang banyak mensyarahkan mazhab al-Imam al-Syafii.  Kata Sadr al-Din Muhammad bin ‘Abd al-Rahman (seorang ilmuwan dalam mazhab al-Syafi’i, meninggal 780H): “Khinzir hukumnya seperti anjing. Dibasuh apa yang ternajis disebabkannya sebanyak tujuh kali. Inilah pendapat yang paling sah dalam Mazhab al-Syafi’i. Kata al-Nawawi: Yang lebih tepat dari segi dalil memadai membasuh kesan khinzir sebanyak sekali tanpa tanah. Inilah pendapat KEBANYAKAN ulama dan inilah pendapat yang diterima pakai. Ini kerana asal sesuatu perkara tidak wajib melainkan adanya dalil syarak”. (Sadr al-Din Muhammad bin ‘Abd al-Rahman al-Syafi’i, Rahmah al-Ummah fi Ikhtilaf al-Aimmah, m.s 9, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah).

7. Pendapat majoriti ulama ini di samping lebih kuat, ia juga lebih memudahkan kita berurusan terutama bagi yang makan di hotel, kapalterbang, bertandang ke rumah jiran atau kenalan bukan muslim kerana bahan ataupun unsur khinzir mungkin sering digunakan oleh mereka. Demikian apabila kita berjalan di tempat awam yang mana bahan khinzir terdedah di mana-mana pada hari ini.


8. Maka, memadailah kita mendapati sesuatu bekas itu bersih tanpa perlu ia dibasuh sebanyak tujuh kali bersama tanah. Ini kerana pada majoriti para ulama, khinzir seperti najis yang lain yang memadai dibersihkan sehingga hilang bau, warna dan rasa. Apabila tiada kesan tersebut pada peralatan makanan, tempat duduk, pakaian dan seumpamanya maka dikira sebagai bersih. Ini seperti mana kita berurusan dengan najis-najis lain.

9. Dalam negara kita banyak pendapat mazhab lain yang digunapakai apabila ada hujah yang kuat atau atas alasan tertentu. Perbankan islamik kita banyak memakai selain pendapat Mazhab al-Syafii. Zakat pendapatan umpamanya, bukan berasaskan dari Mazhab al-Syafi’i, namun diamalkan. Demikian menunaikan Zakat Fitrah secara bayaran wang bukan pendapat asal Mazhab Syafi’i. Apatahlagi muzik diharamkan dalam Mazhab al-Syafi’i , namun dibenarkan dalam masyarakat kita. Ustaz yang kuat marah orang lain tidak ikut Mazhab Syafi’i pun mendengar muzik, bahkan ada yang bermain muzik. Maka, memakai pendapat selain Mazhab al-Syafi’i bukanlah sesuatu yang baru apatahlagi untuk dinilai sebagai salah.

10. Dalam kes-kes yang menyebabkan kesukaran, ataupun kerugian harta ataupun tidak dapat menunaikan kemaslahatan semasa, pandangan pelbagai mazhab sangat membantu umat ini keluar dari kesempitan dan kesukaran. Keluar mazhab tertentu bukanlah bererti menolak fatwa ulama kerana pendapat yang akan dipegang sebagai ganti juga merupakan pendapat ulama yang mempunyai penilaian dan hujah mereka. Ini seperti isu kenajisan khinzir ini. Pendapat yang TIDAK mewajibkan dibasuh seperti basuhan jilatan anjing  merupakan pendapat majoriti ulama. Bahkan disokong oleh tokoh dalam Mazhab al-Syafii sendiri iaitu al-Imam al-Nawawi. Ia lebih memudahkan urusan kita di zaman yang banyak terdedah kepada najis berkenaan.

11. Maka, seperti mana kita membasuh kesan darah, najis manusia dan kesan bangkai haiwan maka demikian cara kita membasuh kesan najis khinzir pada pendapat majoriti ulama.


*Artikel ini merupakan catatan Mufti Perlis, Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin di laman Facebooknya.

**Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.