Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Sarawak tandatangani MoU dengan University of Florida

Sarawak tandatangani MoU dengan University of Florida
Majlis tersebut merupakan sebahagian daripada proses membawa pulang koleksi tulang dari Gua Niah yang dianggarkan berusia lebih 4,000 tahun. FOTO: Astro AWANI
FLORIDA: Kerajaan negeri Sarawak menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) kerjasama dengan University of Florida, Amerika Syarikat dalam bidang muzium dan arkeologi.

Majlis yang berlangsung di pejabat Presiden University of Florida itu dihadiri oleh Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah yang mewakili kerajaan negeri.

Manakala University of Florida pula diwakili oleh presidennya, Kent Fuchs.

Majlis tersebut merupakan sebahagian daripada proses membawa pulang koleksi tulang dari Gua Niah yang dianggarkan berusia lebih 4,000 tahun.
"MoU ini adalah kolaborasi antara muzium dan kerajaan negeri Sarawak dan University of Florida dan daripada apa yang telah kita lihat melalui kunjungan ini dan dibawa menjelajah di sekitar universiti ini, teknologi di sini sangat canggih,”

“Semestinya banyak yang boleh kita pelajari dan berkongsi daripada mereka,” ujarnya ketika ditemui Astro AWANI di sana.
Menjelaskan perkara tersebut, Abdul Karim berkata, tulang-tulang era Neolitik ini dibawa ke Amerika Syarikat pada tahun 1967 untuk tujuan penyelidikan dan kajian.

“Pada tahun 1960-an, tulang manusia dari Gua Niah telah dihantar ke Amerika Syarikat untuk penyelidikan dan ini adalah masanya untuk kita mengambil semula kerana penyelidikan sudah selesai dan kini tiba masanya untuk tulang-tulang itu dikembalikan,”

“Selain daripada itu kita mahu ada perkongsian berkenaan dengan penyelidikan yang telah dibuat di dua buah universiti di sini iaitu University of Nevada dan University of Florida.”

Untuk rekod, tulang-tulang ini ditemui pada tahun 1950-an oleh pasukan penyelidik yang diketuai oleh Kurator Muzium Sarawak pada ketika itu, Tom Harrison.

Ia kemudian dibawa ke University of Nevada, Las Vegas oleh Shaleigh dan Richard Brooks, sebelum dipindahkan ke University of Florida untuk satu lagi kajian di bawah Prof Dr John Krigbaum pada tahun 2017.

Berkaitan kerjasama yang terjalin, beliau menjelaskan universiti tersebut menawarkan persekitaran pembelajaran dan penyelidikan yang menarik juga memiliki teknologi serba canggih.

Kolaborasi ini juga membolehkah Sarawak menghantar pegawai-pegawai dan kakitangan muzium serta penyelidik dari universiti tempatan di Sarawak untuk menghadiri kursus pendek disediakan oleh pihak fakulti terlibat di sini.