Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Selepas 30 tahun, pergunungan Himalaya akhirnya dapat dilihat dengan jelas

Selepas 30 tahun, pergunungan Himalaya akhirnya dapat dilihat dengan jelas
Penduduk teruja dapat melihat pergunungan Himalaya dari jarak 200 kilometer selepas 30 tahun. - Twitter/@khawajaks
PELAKSANAAN perintah berkurung untuk mengekang penyebaran wabak COVID-19 di India telah membantu menurunkan tahap pencemaran di negara itu dengan ketara.

Penduduk di utara India berkongsi keterujaan mereka dapat melihat pergunungan Himalaya yang diliputi salji dari jarak sejauh 200 kilometer untuk pertama kalinya dalam tempoh 30 tahun.

"Kami dapat melihat pergunungan yang dilitupi salji dengan jelas dari rumah. Bintang-bintang juga sudah boleh dilihat dengan jelas pada waktu malam.

"Ini kali pertama saya menyaksikan pemandangan seumpama ini, " kata aktivis alam sekitar, Balbir Singh Seechewal.
India, sebuah negara dengan populasi hampir 1.4 bilion, melaksanakan perintah berkurung sejak 22 Mac lalu.

"Bukan hanya kerana kurangnya kenderaan di atas jalan raya, tetapi kebanyakan perindustrian juga ditutup. Ini membantu menurunkan tahap pencemaran ke paras yang rendah," tambah Seechewal.
Lembaga Pencemaran Pusat India juga memaklumkan, peningkatan kualiti udara di negara itu bermula selepas 22 Mac.

Menurut Unit Perisikan Data India (DIU), secara purata, indeks kualiti udara meningkat sebanyak 33 peratus dari 16 hingga 27 Mac.

"Saya tidak pernah membayangkan saya akan dapat melihat alam sekitar yang sebersih ini.

"Ini membuktikan impian kita untuk melihat alam sekitar yang bebas pencemaran tidak mustahil untuk dicapai. Kita mesti bekerjasama untuk mengekalkan keadaan ini, " kata Seechewal lagi.


Tag: COVID-19, koronavirus, India, Himalaya, pergunungan, alam sekitar



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.