Setiap satu muat turun dan pendaftaran aplikasi 'BookDoc', RM1 akan diderma kepada Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM).

Ini merupakan inisiatif BookDoc di bawah tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat dan pada masa yang sama mensasarkan untuk mengembangkan lagi akses penjagaan kesihatan khususnya berkaitan kanser.

Menurut pengasas BookDoc, Datuk Chevy Beh, kempen ini akan berlangsung selama tiga bulan bermula hari ini.

"Kami akan melakukan kempen pengumpulan dana selama tempoh tiga bulan.

"Pengguna yang muat turun aplikasi hanya perlu menggunakan kod 'CANCER' ketika mendaftar dan BookDoc akan membuat pendermaan itu," kata Beh dalam satu sidang media di sini, hari ini.

Katanya, muat turun aplikasi dan pendaftaran itu tidak melibatkan sebarang kos dan kempen ini boleh mengalakkan serta mendedahkan orang ramai kepada perkhidmatan yang ditawarkan BookDoc.

Menurutnya, BookDoc menawarkan perkhidmatan yang disediakan Klinik Kanser dan Pemeriksaan Kesihatan dan Pusat Perubatan Nuklear oleh NCSM.

Kesemua perkhidmatan berkenaan boleh ditempah secara atas talian menerusi aplikasi Bookdoc atau laman web rasmi di www.bookdoc.com.

Selain itu, katanya BookDoc yang ditubuhkan sejak Oktober lalu kini mempunyai lebih 60,000 pengguna dengan lebih 4,000 perkhidmatan penjagaan kesihatan di Malaysia.

Jelasnya, BookDoc boleh diguna pakai di 17 bandar utama di Malaysia, Singapura, Hong Kong dan Thailand.