SELEPAS tularnya video seorang selebriti yang menunaikan solat di dalam kereta, netizen mula berbalah tentang hukum ibadat itu ditunaikan dalam keadaan sedemikian.

Pendakwah muda Muhammad Asyraf Mohd Ridzuan, ketika dihubungi Astro AWANI memaklumkan, solat di dalam kenderaan adalah dibolehkan, dengan syarat ia ditunaikan atas sebab darurat.

Meskipun begitu, darurat itu tidak boleh diambil ringan kerana terdapat beberapa syarat yang perlu dipenuhi untuk satu situasi diklasifikasikan sebagai darurat.

"Pertama sekali, saya perlu jelaskan saya tidak tahu situasi selebriti itu sehingga dia mengambil keputusan untuk menunaikan solat dalam kereta.

"Tetapi secara umum, solat di dalam kereta dibenarkan jika benar-benar dalam keadaan darurat. Contohnya, jika dia tersangkut dalam kesesakan jalan raya, dan tidak ada peluang langsung untuk keluar kereta dan singgah di mana-mana untuk solat," katanya yang mula dikenali menerusi program Imam Muda.

Jelasnya, dalam keadaan darurat, ada dua pilihan iaitu boleh melakukan solat jamak takhir, contohnya jika terlepas waktu Maghrib, atau boleh dilakukan dalam kereta.

"Jika masih ada peluang untuk singgah ke surau di stesen minyak, atau di mana sahaja lokasi yang membolehkan solat seperti biasa dilakukan, tak sepatutnya tunai solat dalam kereta," katanya.

Tambahnya lagi, mengikut mazhab Syafie, seseorang yang menunaikan solat dalam kereta, ia dikira sebagai solat hormat waktu dan solat itu perlu ditunaikan semula apabila berkemampuan.

"Contohnya jika dia solat Maghrib dalam kenderaan kerana kesesakan jalan raya, dia perlu menunaikan solat itu kembali sebaik dia tiba di rumah," ujarnya.

Imam Muda Asyraf juga mengingatkan masyarakat agar tidak meremehkan hal kemudahan yang diberi dalam menunaikan solat, kerana ia ibadat wajib dan merupakan rukun Islam.

Semalam, video seorang pelakon wanita menunaikan solat di dalam kereta ketika dalam perjalanan ke sebuah acara, tular dan menjadi perbualan netizen.

Video itu dimuat naik ke Instastory akaun Instagram yang dimiliki pereka gaya pelakon terbabit.