BEKAS pemain badminton negara, Datuk Lee Chong Wei menjadi atlet negara pertama yang dipamerkan di muzium lilin, Madame Tussauds Hong Kong.

Muzium tersebut mengumumkan bekas pemain nombor satu itu akan menjadi atlet Malaysia pertama menjadi sebahagian daripada tarikan.

Hero negara itu turut menzahirkan keterujaannya dengan berkongsi beberapa gambarnya ketika menjalani sesi fotografi untuk Madame Tussauds Hong Kong.


Beliau turut memberi bayangan figura lilin itu akan didedahkan dalam suku kedua tahun ini.

Madame Tussauds Hong Kong dalam kenyataan berkata, sesi perbincangan mengambil masa enam jam untuk membangkitkan keterujaan kepada pasukan.

"Dalam tempoh perbincangan, Chong Wei bukan hanya memberi kerjasama penuh, dari semasa ke semasa, beliau bergurau bagi membangkitkan suasana dan membuat pasukan ketawa tanpa henti," kata kenyataan itu.

Menurut Ketua Pemasaran Madame Tussauds Hong Kong, BoBo Yu turut berkongsi keterujaan terhadap tarikan terbaharu itu dan menegaskan Malaysia merupakan pemasaran yang penting untuk muzium tersebut.

"Selepas melancarkan figura lilin Tan Sri Michelle Yeoh beberapa tahun lalu, Chong Wei akan menjadi figura Malaysia kedua yang akan menarik perhatian ramai.

(Fgura lilin Michelle Yeoh diabadikan di Madame Tussauds Hong Kong pada tahun 2015).

"Kami sangat berbesar hati kerana atlet terhebat ini sudi menyertai kami," katanya.

"Saya kagum bagaimana mereka merekodkan maklumat dengan begitu teliti termasuk warna rambut saya dan mata! Saya berasa sangat dihormati dan bersyukur dapat mewakili Malaysia.

"Saya harap figura lilin saya ini akan memberi inspirasi kepada semua warga Malaysia bagi mengetengahkan bakat mereka ke peringkat global," kata Chong Wei.