Tak sampai 24 jam, temubual 'profesor dengan BBC diganggu anak' terima lebih 40 juta tontonan

Tak sampai 24 jam, temubual 'profesor dengan BBC diganggu anak' terima lebih 40 juta tontonan
Dua anak Kelly muncul ketika temubual sedang berjalan secara langsung.Foto/Facebook BBC Newsbeat
APABILA melihat seorang profesor yang pakar membicarakan perihal sesuatu isu, kita sering membayangkan dia tentu mempunyai gaya hidup yang berbeza dari kita semua.

Namun satu insiden lucu yang terjadi dalam satu temuramah secara langsung antara seorang profesor, Robert E.Kelly dengan saluran televisyen BBC, membuktikan mereka juga seperti kita.

Kelly merupakan pensyarah di Pusan International University dan pakar politik Korea, muncul dalam temuramah melalui Skype dari kediamannya di Korea Selatan, untuk membincangkan isu  pemecatan Presiden Park Geun Hye.
Ketika temubual sedang berjalan, salah seorang anak Kelly, memasuki bilik tersebut dan cuba mengalihkan perhatian bapanya.

Beberapa saat berselang, seorang lagi anak Kelly, juga memasuki bilik berkenaan.

Keadaan menjadi lebih lucu apabila isteri Kelly, Jung-a Kim, 'meluncur' masuk ke dalam bilik tersebut dan dilihat tergesa-gesa membawa kedua-dua anaknya itu keluar untuk membolehkan temubual disambung.

 

Video kejadian itu menjadi perkongsian viral di laman sosial, dengan netizen menyifatkan ia sangat comel dan 'normal'.

"Situasi ini mengingatkan kita bahawa 'pakar' juga seperti punya kehidupan seperti kita," tulis seorang pengguna Twitter.

Video tersebut dimuat naik ke akaun Facebook BBC Newsbeat, dan sudah mengumpul lebih 40 juta tontonan dalam masa tidak sampai 24 jam.

Portal New York Times melaporkan, Kelly merupakan pakar politik yang kerap menjadi tetamu undangan BBC. Dia berkahwin dengan guru yoga dari Korea Selatan dan kini menetap di sana.