LEMBAH KLANG adalah segmen paling metropolis Malaysia. Bukan saja penuh dengan ruang dan peluang; malah tepu dengan pergelutan dan peminggiran.

Wilayah urban ini mencipta medan persaingan sengit, yang jarang sekali boleh menumbuhkan persahabatan. Tetapi pada suatu petang redup di Putrajaya, mitos ini dirobohkan.

Dalam hujan lebat di ambang maghrib, sekumpulan anak muda belajar erti setiakawan. Sambil disaksikan setompok durian basah dan sehampar hidangan yang lencun dilibas tempias angin.

Grup kami digelar Kelab Bawang Insan Sepi (KEBAWIS). Ini satu parodi personal tentang status ahli-ahlinya. - Foto Ramzah Dambul

Grup kami digelar Kelab Bawang Insan Sepi (KEBAWIS). Ini satu parodi personal tentang status ahli-ahlinya, yang buat masa ini masih lagi bahagia h̷i̷d̷u̷p̷ ̷b̷e̷r̷s̷e̷n̷d̷i̷r̷i̷ memilih untuk menyusur “the less traveled road (Frost, 1916).

Secara filsuf pula, KEBAWIS sebenarnya satu reaksi satirikal terhadap budaya membawang masyarakat kontemporari. Ya, generasi digital yang majoriti anti-sosial dan mudah ketagih dengan umpan gosip di media internet. KEBAWIS adalah sanggahan kepada stereotaip ini.

Kami berhimpun di padang rumput tasik Putrajaya, sementara menunggu matahari terbenam. Kami bawa aneka makanan — durian, kuih-muih dan nasi berlauk ikan kembong tiga rasa. Kulinari memang selalu jadi kunci penyatuan paling berkesan.

Dari pagi sampai tengahari, matahari agak terik membakar. Selaku klimatologis, saya patutnya tahu bahawa ini tanda-tanda awal berlaku olakan udara yang aktif. Maksudnya, ribut petir dan hujan perolakan sedang dijana.

Tapi minda saya seperti sengaja cicirkan fakta empirikal ini. Barangkali sebab saya terlampau girang dapat berbaju merah jambu dengan rona warna paling garang menempik. Hingga saya alpa kasmaran tentang sains.

Bila kilat sayup-sayup menjelma, dan titis hujan mula bertempiar — baru kami terkocoh-kocoh pindah dari padang rumput ke gazebo berbumbung. Beberapa minit selepas mencicip pembuka selera, hujan lebat dan angin kencang datang memukul.

Barang-barang bergelimpang ditiup ribut. Kami semua basah separa kuyup. Roti jala jadi lembab, lempeng rasa lencun, dan sup tomyam cair jernih disiram tempias.

Peristiwa hujan selalunya boleh menjadi satu memori signifikan - Foto Ramzah Dambul

Anehnya, selepas hujan dan angin reda, masing-masing sambung makan dengan selera dua kali ganda. Memang fitrah fisiologi manusia, lebih teruja mahu melantak ketika sejuk. Sebab tubuh secara natural sedang mengidam tenaga haba yang lebih.

Sambil makan, masing-masing juga galak bercerita kenangan musim tengkujuh zaman kecil. Setiap orang mesti ada memori hujannya sendiri. Cerita berteduh di bawah pokok pisang, berlari kaki ayam dalam hujan, atau girang bergelinjang di laman rumah, menadah titisan yang jatuh berguyur-guyur.

Kata seorang kenalan lama: “Sahabat hanya benar-benar boleh dikenali selepas melalui pengalaman bersama ditimpa hujan”. Mungkin dia maksudkan ini dalam konteks metafora, bukan hurufiah. Tapi secara literal pun, saya fikir kata-kata dia ada betulnya. Lepas sama-sama basah oleh hujan senja di Putrajaya — saya semakin faham kenapa kita perlukan sahabat dalam hidup.

Yang lebih manis lagi, kami dapat mengulang semula nostalgia lama. Kerana peristiwa hujan selalunya boleh menjadi satu memori signifikan. Betapa nikmat menjamah durian basah dan nasi sejuk, bila hujan lebat berakhir. Sungguh syurgawi!

Tanpa kenangan, tiada rindu datang menjengah. Tanpa rindu, tiada ingatan akan menjelma. Tanpa ingatan, tiada persahabatan yang mampu bertahan merentas masa.



* Profesor Madya Dr. Ramzah Dambul merupakan seorang birokrat federal, saintis menara gading serta penyair dan pelukis indie.

**Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.