DEMI memberi sokongan kepada pasukan kegemaran masing-masing dalam final Liga Juara-Juara Eropah, pasangan Abby Norman dan James Alexander mengubah rancangan perkahwinan mereka yang berlangsung hari ini, 1 Jun.

Norman, penyokong Liverpool dan Alexander, peminat Tottenham Hotspurs, mengakui tidak percaya apabila kedua-dua pasukan itu akan bertemu satu sama lain di final.

Sebagai tanda sokongan, pasangan dari Plymouth, England ini memutuskan untuk menukar tema perkahwinan mereka kepada sport themed pada saat akhir.

"Sudah semestinya perlawanan itu akan menjadi sebahagian daripada majlis perkahwinan kami.

"Kami pernah berbual mengenainya, tetapi tidak sangka ia akan menjadi kenyataan. Lebih gila, ia akan berlaku pada hari perkahwinan kami!" kata Norman ketika ditemuramah dalam rancangan This Morning.

Antara perubahan yang dilakukan adalah tidak seperti majlis perkahwinan lain di mana tetamu akan duduk mengikut keluarga pengantin (lelaki atau perempuan), tetamu di majlis pasangan ini akan perlu duduk mengikut pasukan mana yang disokong mereka.

Diajak berbual tentang perlawanan yang bakal berlangsung, Norman yakin dengan kemampuan Liverpool, manakala Alexander lebih merendah diri.

"Spurs pasukan underdog, tetapi ia bagus kerana sekurang-kurangnya kami tidak tertekan.

"Yang tak seronoknya, kalau Liverpool menang, tentu saya kena 'bahan'," kata Alexander.

"Kalau Liverpool kalah, saya takkan menari dengan dia," kata Norman, merujuk kepada sesi first dance yang biasa dilakukan pasangan di Barat.

"Sepanjang minggu ini saya sangat gementar. Ramai orang beritahu saya, 'oh awak gementar kerana nak kahwin'.

"Tetapi saya beritahu mereka, 'tidak, saya gementar kerana perlawanan ini'. Saya tahu majlis perkahwinan kami akan okey sahaja," tambah Norman lagi.