KEBELAKANGAN ini, jika kita perhatikan di laman media sosial, isu penulisan khat bukanlah lagi satu perbincangan yang dilakukan secara sihat.

Kebanyakan perbincangan hal ini berbaurkan sifat rasisme, disulami elemen kebencian dan kata-kata kesat.

Di sini saya ingin berkongsi pengalaman dalam melalui kehidupan remaja yang diwarnai oleh budaya pelbagai bangsa.

Saya telah disekolahkan di sebuah sekolah perempuan di mana ketumpatan pencampuran bangsa boleh dikira agak tinggi.

Zaman remaja, di mana tahap kenakalan berada di kadar yang maksimum, kebanyakan individu memilih untuk lebih bergantung emosi pada rakan-rakan sebaya berbanding keluarga sendiri.

Tidak boleh disangkal, impak rakan terhadap kehidupan seseorang amatlah besar.

Bertuahnya saya kerana ditempatkan di satu kelas yang memberi saya peluang untuk berkongsi budaya antara satu sama lain.

Ironinya, bertoleransi antara satu bangsa adalah satu perkara yang tidak pernah diajar mahupun ditekankan oleh guru-guru kami.

Hal ini kerana, sikap toleransi ini telah dengan sendirinya wujud apabila keakraban persahabatan yang terjalin di antara kami telah menjangkau benteng pembahagian kaum.

Kami sifatkan 'our sisterhood goes beyond colors.'

Toleransi keagamaan

Jika sesi kebanyakan persekolahan harian lain bermula dengan perbarisan dan nyanyian lagu sekolah, namun, orientasi itu sedikit berbeza di sekolah kami.

Kami mulakan persekolahan dengan bacaan surah Yassin.

Rakan-rakan kaum India dan Cina mahupun ibu bapa mereka tidak pernah membantah malahan menghormati bacaan kami yang diketuai melalui saluran radio.

Mereka gunakan masa ini sebaik mungkin dengan menghabiskan kerja sekolah yang masih berbaki.

Sementara jika ada di antara rakan-rakan kaum India dan Cina berdoa mengikut faham mereka, giliran kami pula memperlahankan suara sebagai tanda menghormati.

Sejujurnya, adegan ini dapat dilihat di musim peperiksaan diadakan.

Musim di mana semua menjadi ‘alim’ secara luar biasa terhadap tuhan masing-masing.

Alhamdulillah, walaupun pelbagai upacara keagamaan dilakukan di satu kelas yang sama, sepanjang lima tahun saya bersekolah di sana, tiada yang buat rekod disampuk secara tiba-tiba mahupun membuat keputusan menukar agama.

Tidak goyah agama

Malah masih segar di ingatan saya, guru cemerlang bahasa Melayu kami, Puan Ariyati, memanggil salah seorang daripada kami untuk membaca karangan yang ditulis oleh seorang rakan.

Karangan contoh itu ditulis dengan penuh penghayatan, sarat dengan peribahasa, malah hadis Nabi Muhammad SAW dipetiknya sebagai penguat intipati karangan.

Masih saya ingat kata-kata Puan Ariyati.

“KAMU TAHU INI KARANGAN SIAPA?”

(Saya sengaja menulis dengan huruf besar, kerana buat yang mengenali beliau pasti tahu bertapa kuat suaranya.)

Soalan beliau tidak kami sahut. Disebutnya nombor giliran peperiksaan SPM di kertas tersebut, rakan kami, Archana bergerak ke hadapan kelas.

Ya, tuan empunya karangan adalah seorang gadis India yang berpengetahuannya luas terhadap agama kami sendiri.

Malunya saya apabila saya sendiri dipanggil ke hadapan kelas kerana telah memetik satu peribahasa dengan cara yang salah.

"AFIQAH, KALAU HARIMAU MENGAUM, KAMBING MENGEMBEK, KERBAU APA?”

“Mengembu?”

“KAMU BERDIRI DI LUAR SANAAAA!”

Pelajari pelbagai imej budaya

Pernah satu masa, ketika ketiadaan guru dan kebosanan melanda, kami belajar menulis surat cinta dalam pelbagai bahasa.

Disebabkan sifat malu tapi mahu yang tinggi, sorang rakan Melayu menyatakan hasrat menulis surat cinta dalam bahasa Tamil.

Bila ditanya apa motifnya?

“Kalau dia tau aku suka dia, malulah aku!” itu jawapan teman saya itu.

Maka jadinya satu sesi menulis surat cinta dalam pelbagai bahasa.

Saya yang ketika itu masih tiada pasangan turut tidak ketinggalan untuk menyertai aktiviti tersebut.

Berkongsi budaya

Bagi saya, perkongsian budaya tidak sama sekali akan menghakis budaya yang sedia ada.

Seperti kasih sayang, lebih banyak dikongsi, seseorang itu akan menjadi lebih ‘kaya-raya’ dari segi ilmu, adab dan sikap toleransi.

Saya amat terkesan apabila melihat segelintir generasi ibu bapa kami berbalah antara satu sama lain.

Sedangkan kasih sayang kami antara satu sama lain masih utuh dan jitu.

Toleransi terhadap kepercayaan satu sama lain

Pernah satu ketika saya berfikir bahawa situasi ini hanya berlaku di antara golongan kami yang berada di utara.

Tapi ternyata tanggapan saya salah apabila berganjak ke zaman bekerja dan masih berjumpa dengan rakan berlainan bangsa yang menyayangi saya seadanya.

Ketika saya berjumpa dengan rakan kerja yang lama, saya disambut dengan jeritan dan pelukan daripada rakan bangsa yang berbeza.

Di majlis perkahwinan saya pula, rakan-rakan berbangsa India pula tidak terguris hati apabila daging menjadi salah satu hidangan utama.

Begitu juga ketika di majlis perkahwinan mereka, saya dan suami tidak terguris hati apabila minuman keras dihidangkan.

Malah rakan kami mengambil langkah tambahan untuk menyediakan minuman dan makanan yang halal buat kami.

Hal ini demikian kerana, kami masing-masing tahu bahawa sesuatu perkara itu dilakukan bukanlah atas niat menghina kepercayaan individu, tetapi merupakan sebahagian cara hidup mereka dan kita sebagai rakan harus cuba bertoleransi sewajarnya.

Jangan takuti budaya yang sedia ada

Saya dapati ramai di luar sana yang terlampau sensitif apabila berbicara perihal agama dan budaya.

Dalam kalangan kami anak muda, kami tidak lihat antara satu sama lain sebagai entiti yang berbeza.

Kasih sayang yang wujud di antara persahabatan, membantu kami melihat sama sendiri sebagai satu individu yang kami sayangi dan bukannya musuh yang harus ditangani.

Di sini saya kongsikan lagi satu adegan yang terakhir.

Ketika kami berada di dalam kelas membuat kerja, tanpa disedari, seorang rakan bernama Mahesi menyanyi satu alunan yang didengari agak biasa ditelinga kami.

Apabila ditanya apa yang dinyanyikannya?

“Aku baca Yassin lah.”

“Hang tau baca Yassin?”

“Dah dengar tiap-tiap hari, nak dengar aku baca?”

Ternyata 10 ayat pertama Mahesi dapat baca dengan lancar.

Surah Al-Fatihah juga dapat dilafazkan secara lancar. Kami ketawa.

Tukar agama? Tidak juga.

Penerapan tulisan khat tidak seharusnya dilihat sebagai satu cara penghakisan budaya lain yang sedia ada.

Malahan ia memperkayakan pengetahuan kita. Sekiranya ada yang mempersoalkan adakah kami akan menolak sekiranya tulisan Cina dan India diwajibkan di sekolah-sekolah kebangsaan.

Saya kira ramai di antara kami generasi muda akan menerima dengan tangan yang terbuka.

Apa salahnya jika kita mengetahui sedikit sebanyak bahasa, seni tulisan dan budaya satu sama lain?

Hentikan tanggapan buruk pada setiap perkara. Cuba cari aspek positif pada setiap benda, buka hati untuk terima segala ilmu baik yang ada.



*Afiqah Aisyah Saiful Bahar merupakan Pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkelulusan Sarjana Perang Saraf Media dan Informasi.

**Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.