TERASA lapar tetapi terlalu sibuk untuk keluar, cari tempat letak kereta dan beratur di restoran?

Anda boleh menghela nafas lega apabila perkhidmatan penghantaran makanan di sekitar Kuala Lumpur kini tersedia kepada semua warga kota.

Mulai 21 September 2017, jam 9 pagi, penggemar makanan di ibu kota boleh membuat pesanan sajian kegemaran mereka melalui aplikasi mudah alih 'UberEATS' di telefon bimbit mereka.

Pengurus besar UberEATS Malaysia dan Singapura, Shri Chakravarthy Gopalakrishnan dalam sidang media pada Rabu berkata perkhidmatan penghantaran makanan ini satu kemudahan baharu kepada semua.

“Dengan UberEATS, rakyat Malaysia hanya perlu menekan satu butang dan dapat menikmati hidangan kegemaran mereka dengan selesa dan mudah.

“Sama ada anda di taman, bersiar di kota, atau mengatur hidangan makan malam dari pejabat – carilah apa yang anda ingini, tekan butang dan kami akan uruskan yang selebihnya,” katanya lagi.

UberEATS menawarkan pelbagai jenis makanan, minuman dan pencuci mulut merangkumi sajian tempatan, Asia dan Barat daripada lebih 200 rakan restoran.

Antara rakan restoran UberEATS ialah restoran nasi lemak terkemuka Nasi Lemak Antarabangsa, kafe aiskrim Inside Scoop, Restoran Sitka, dan Mikey’s Original New York Pizza.

Pilihan makanan halal juga ditawarkan bagi memenuhi permintaan rakyat Malaysia yang berbilang agama. Untuk itu, UberEATS Malaysia bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk memastikan cara penghantaran makanan halal mengikut syarat yang ditetapkan.

Melalui cogan kata "Idam, Tekan and Nikmati", aplikasi UberEATS menjadikan khidmat penghantaran makanan semudah dan sepantas memesan kereta tumpang Uber.

Tempoh penghantaran makanan adalah antara 30 hingga 35 minit.

UberEATS kini beroperasi di sekitar kawasan pusat bandaraya Kuala Lumpur, Bangsar dan Bukit Damansara dengan fi sebanyak RM5 bagi setiap penghantaran tanpa sebarang pesanan minimum.

Setakat ini, UberEATS menerima bayaran dalam talian menerusi kad debit dan kredit manakala kaedah pembayaran tunai pula akan diperkenalkan kelak.

Kuala Lumpur merupakan bandar kesepuluh di rantau Asia yang menawarkan perkhidmatan ini selain bandar terkemuka seperti Seoul, Bangkok, Tokyo, New Delhi, Bangalore dan Singapura.

Untuk mencuba UberEATS, pengguna boleh memuat turun aplikasi mudah alih UberEATS di Google Play Store dan Apple App Store atau layari www.ubereats.com//kuala_lumpur/.

Sempena pelancaran UberEATS, pengguna boleh memasukkan kod promosi KLTASTY untuk menikmati khidmat penghantaran percuma untuk tiga pesanan pertama.

Kod promosi ini sah hingga 21 Oktober 2017.