Wanita Mesir kini libatkan diri dalam parkour

Wanita Mesir kini libatkan diri dalam parkour
Kumpulan parkour wanita di Mesir giat menjalani latihan. -Foto Reuters
KAHERAH: Aksi ngeri seperti melompat di tepi bangunan tinggi, dari tembok ke tembok dan memanjat bangunan adalah aksi sukan ekstrem parkour yang kebiasaannya dilakukan oleh kaum lelaki.

Lain pula ceritanya di Kaherah apabila sekumpulan wanita Mesir kini giat menjalankan latihan sukan ekstrem tersebut.

Selepas menjalani latihan setiap minggu selama enam bulan berturut-turut, mereka kini berhasrat untuk menubuhkan satu kumpulan profesional bagi sukan ekstrem itu di Mesir.
Mereka kini berhasrat untuk menubuhkan satu kumpulan profesional bagi sukan ekstrem tersebut di Mesir. Foto: Reuters

Namun di sebalik kesungguhan kumpulan ini bergiat cergas dalam aktiviti parkour, mereka didakwa melanggar norma kaum wanita di negara itu.

Memetik laporan Reuters, salah seorang pemain yang bergiat aktif dalam sukan itu, Zayneb Helal menjelaskan sudah menjadi kebiasaan apabila masyarakat tempatan tidak menerima keputusan mereka.

“Masyarakat tempatan tidak membenarkan kaum wanita untuk melakukan aktiviti luar, apatah lagi sukan ini,” tambahnya.

"Masyarakat tempatan tidak membenarkan kaum wanita untuk melalukan aktiviti luar, apatah lagi sukan ini," kata Zayneb Helal. Foto: Reuters

Namun, menurut jurulatih mereka, kumpulan wanita ini giat berlatih untuk memastikan teknik mereka adalah tepat.

“Saya percaya lebih ramai wanita di negara ini yang akan turut serta dan sudah boleh menerima sukan ini sebagai norma dalam kehidupan mereka,” jelasnya.

Terdahulu, Britain merupakan negara pertama yang mengiktiraf parkour sebagai aktiviti sukan.