Tutup

Yuna, Farah Ann mahu wanita aktif dalam sukan tanpa halangan dan kerisauan

Yuna, Farah Ann mahu wanita aktif dalam sukan tanpa halangan dan kerisauan
Yuna dan Farah Ann mahu semua wanita di Malaysia mengatasi apa jua kekangan untuk terlibat dalam sukan.
KUALA LUMPUR: Tidak mengehadkan pengaruhnya hanya di atas pentas nyanyian, penyanyi Yuna nyata terkesan dengan kurangnya penglibatan wanita dalam bidang sukan.

Yuna memberi respons sedemikian ekoran laporan Astro AWANI berkenaan kekangan yang dihadapi wanita untuk aktif dalam arena sukan di Malaysia.

Rata-rata wanita memilih untuk tidak bersukan kerana bimbang kelihatan lebih maskulin dan menganggap sukan hanya untuk kaum lelaki.

Ada juga atlet wanita yang membuat keputusan bersara awal selepas berkahwin atau mempunyai anak disebabkan faktor masa dan komitmen pada keluarga.
Yuna melalui Facebook miliknya meluahkan rasa terkilan dan kecewa apabila mengetahui ramai atlet wanita berdepan kekangan untuk terus berjaya dalam bidang sukan.

Kata Yuna, setiap wanita seharusnya boleh terlibat dalam sukan tanpa sebarang kerisauan atau halangan.
Penyanyi berusia 33 tahun itu turut mengambil contoh atlet gimnas negara, Farah Ann yang berjaya meneruskan cita-cita dan impiannya untuk aktif dalam sukan gimnastik namun tetap kelihatan cantik dan kuat.

Beliau turut mengajak semua pihak untuk bersama-sama menunjukkan sokongan agar lebih ramai lagi wanita di Malaysia terlibat dalam arena sukan.

Dalam pada itu, Farah menyahut sokongan Yuna untuk melihat lebih ramai penyertaan wanita dalam lapangan sukan negara.

Dalam Facebook miliknya, Farah berharap dirinya mampu memberikan suntikan semangat dan dorongan kepada seluruh wanita di Malaysia.

Memikul tanggungjawab sebagai wanita besi oleh Pantene Malaysia, Farah melahirkan rasa teruja untuk bersama-sama membantu Pantene dalam usaha mengatasi kekangan yang ada.

Farah mahu semua wanita  bersatu dan tampil kuat bersama-samanya untuk mengatasi apa jua penghalang baik dari segi peribadi mahu pun profesional agar sentiasa kekal cantik, kekal kuat dan kekal aktif dalam sukan.




Tag: yuna, yunamusic, penyanyi, farah ann, gimnastik, atlet sukan, atlet wanita, pantene, pantene malaysia, wanita besi, kuat cantik



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.