JIKA sebelum ini laman media sosial dibanjiri dengan hashtag #BottleCapChallenge dan #KekeChallenge, kini ada ‘challenge’ yang baharu pula.

Hari ini, bintang bola sepak, Zlatan Ibrahimovic muncul dengan cabaran yang digelarnya #MatrixChallenge.

Nama itu sempena aksi dalam filem The Matrix di mana watak utama filem tersebut, Neo (lakonan Keanu Reeves) mengelak peluru dengan membengkokkan badannya ke belakang sambil menghayunkan tangannya dengan efek ‘slow motion’ (gerak perlahan).

Bagaimanapun, cara yang dilakukan Zlatan ini agak berbeza.

Pemain sensasi LA Galaxy itu menggunakan sebiji bola, dan mengimbangkannya di atas dada sambil melakukan pergerakan ala adegan dalam ‘The Matrix’ itu.


Video yang dimuat naik di akaun Instagramnya itu juga disunting dengan memasukkan kesan ‘slow-mo’ dan bunyi tembakan seperti dalam filem tersebut.

Klip tersebut dimuat naik di akaun Instagramnya, sambil mengutarakan cabaran terhadap beberapa bintang sukan lain seperti bintang UFC Khabib Nurmagomedov, bintang tenis Novak Djokovic, bintang Manchester United Paul Pogba dan ejen bola sepak terkenal Mino Raiola.

"SHOW ME #matrixchallenge (tunjukkan saya #matrixchallenge)," tulisnya sambil tag nama atlet-atlet tersebut.

Setakat ini, video tersebut mencatat lebih 5 juta tontonan dan lebih 1.5 juta likes di Instagram @iamzlatanibrahimovic.

Khabib yang memberi respons terhadap cabaran tersebut hanya menyifatkan aksi itu sebagai ‘mengarut’ sambil meletakkan emoji ‘ketawa’.