Catatan blog mengenai seorang warga asing rakyat Jerman yang meluahkan kebimbangan beliau tentang ciri yang terdapat di model kereta Myvi dan Alza keluaran Perodua tersebar di media sosial minggu ini.

Memetik laporan laman web viraliyat.net, jurutera Jerman yang dikenali sebagai Wolf Vaupel mengadu bahawa panel meter kereta Perodua Myvi yang dibeli pada August 2014 menyala secara automatik apabila enjin dihidupkan.

Dakwa beliau, ciri tersebut boleh membawa “maut” kerana panel meter berlampu menunjukkan lampu depan turut menyala. Tambahnya, ciri ini tidak mematuhi piawaian antarabangsa.

Emel Vaupel turut dihantar ke pihak Perodua, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), dan syarikat-syarikat insurans. Walaupun tidak menerima maklum balas daripada pihak terbabit, emel berkenaan menjadi trending di media sosial.

Susulan itu, blogger automotif Paul Tan tampil ke hadapan untuk memberikan penjelasan.

Di laman blog paultan.org, beliau berkata ciri ini dikenali sebagai ‘self-illuminating meter panel’ yang menggunakan beberapa jenis 'backlight' berbanding panel meter biasa.

Ciri ini juga terdapat di kereta jenama antarabangsa seperti Toyota dan Kia.

Paul Tan dalam satu video menunjukkan tentang ‘self-illuminating meter panel’ di mana ia akan terus gelap tanpa ‘backlight’.

Sumber: YouTube/Paul Tan

Tambah Paul Tan secara peribadi, panel meter menyala atau tidak bukan petunjuk rasmi lampu depan menyala atau tidak.

“Secara tidak rasmi, mungkin. Tetapi ia bukan satu standard,” jelas beliau.

Selain itu, Paul Tan turut berkata bahawa lampu dalaman akan berubah bergantung kepada jika lampu depan dinyalakan atau tidak.

Sumber: YouTube/Paul Tan

Paling mudah sekali, Paul Tan mencadang agar pemandu ke depan kereta untuk memeriksa jika lampu depan menyala atau tidak.

Beliau turut mencadangkan kepada Vaupel untuk membeli kereta Perodua Myvi keluaran 2015 di mana panel meter biasa digunakan dan bukan ‘self-illuminating panel meter’.