Sambutan kemerdekaan merupakan masa yang amat sesuai untuk bermuhasabah diri tentang peranan penting sebagai rakyat yang merdeka khususnya di Sabah, kata Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Yahya Hussin.

Beliau berkata semangat perpaduan rakyat yang longgar memudahkan penjajah mengambil kesempatan memburukkan keadaan dengan 'meneguk di air yang keruh' iaitu mengambil kesempatan di atas kesusahan orang lain.

"Akhir-akhir ini, rakyat Malaysia telah diuji dengan ujian yang amat mencabar khususnya di negeri Sabah yang baru setahun yang lalu dikejutkan dengan peristiwa di Kampung Tanduo.

"Walaupun kita melihat tragedi itu disebabkan ancaman luar yang datang menceroboh, tetapi kita juga harus akui bahawa sifat ketidaksetiaan kepada negara yang ditunjukkan oleh sebilangan kecil warganegara kita sendiri telah menyumbang kepada tragedi berkenaan," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan program Kembara Merdeka Jalur Gemilang peringkat negeri anjuran Jabatan Penerangan Sabah di Putatan di sini.

Sebanyak 20 kenderaan pacuan empat roda menyertai program itu yang menjelajah ke seluruh bahagian pantai barat bermula dari Putatan seterusnya ke Penampang serta Tuaran dan berakhir di Ranau.

Yahya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kemerdekaan peringkat negeri berkata tiada jaminan peristiwa sebegitu tidak akan berulang jika kita masih tidak mengukuhkan jati diri sebagai warganegara yang setia kepada negara.

Beliau berkata peristiwa kehilangan pesawat Malaysia Airline MH370 pada Mac lepas dan insiden pesawat MH17 yang terhempas pada 17 Julai lalu turut memberi impak yang besar kepada negara.

"Pujian harus diberi kepada pucuk kepimpinan negara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang berupaya menangani isu berkenaan secara profesional, ibarat 'menarik rambut dalam tepung, rambut tidak putus tepung tidak berselerak'," katanya.

Sehubungan itu, katanya, rakyat yang cintakan keamanan negara harus berdiri teguh memberi sokongan serta keyakinan yang penuh terhadap kepimpinan negara.

Yahya turut menyeru seluruh rakyat mengibar Jalur Gemilang sebagai tanda sokongan kepada pejuang kemerdekaan dan juga pasukan keselamatan yang tidak pernah jemu mempertahankan kedaulatan negara ini.