P119 Titiwangsa memang kerusi panas jika demam sokongan penamaan calon pada pagi semalam dijadikan kayu pengukurnya. Ketenangan Sekolah Aminuddin Baki (SAB) yang di depannya kehijauan mewah padang Kelab Golf Diraja Selangor bertukar riuh dengan tempik sorak hangat sepanjang Jalan Kampung Pandan.

Titiwangsa 1

Di atas jalan yang kiri kanannya dihimpit tembok batu kelab golf dan pagar tinggi SAB, dua kumpulan partisan yang besar menjadi tumpuan.

Saya pula berada betul-betul di depan pintu masuk utama sekolah yang membuatkan saya apabila memandang ke depan terfikir sama ada pemain-pemain golf hari ini boleh membuat hayunan tepat dengan kebisingan yang semakin meninggi di kiri kanan saya.

Daripada Inilah Barisan Kita kepada Allahuakbar kepada Gendang India

Titiwangsa 2

Di kanan saya lautan biru lebih seribu penyokong Barisan Nasional (BN) dengan laungan perjuangan mereka terutama nyanyian lagu Inilah Barisan Kita.

Di kiri saya lautan hijau Pakatan Rakyat (PR) juga dengan lebih seribu orang. Majoritinya penyokong parti Parti Islam SeMalaysia (PAS).

Laungan perjuangan mereka berselang-seli di antara takbir dan zikir serta selawat dengan irama pukulan gendang India.

Titiwangsa 3

Ketika Datuk Johari Abdul Ghani dan Ahmad Zamri Asa'ad Khuzaimi sibuk menjalani proses penamaan calon di dalam dewan sekolah, saya berpeluang untuk merasa keghairahan kumpulan penyokong dengan menyelami bukan sahaja khalayak yang bermandi keringat tetapi juga isi hati mereka yang disuarakan dengan begitu lantang.

Di lautan biru sorakan semangat mereka bagai dentuman guruh berbanding di Pilihan Raya Umum ke 12 di (PRU12) di kawasan Parlimen dengan jumlah pengundi berdaftar lebih 55,000 orang ini.

Senyuman dan isyarat simbol kemenangan dihalakan ke arah saya setiap kali saya berpaling ke arah teriakan “Astro Awani” yang cuba menarik perhatian saya untuk mengambil gambar mereka. Tentunya saya dengan senang hati memenuhi permintaan mereka (tak perlu lagi untuk susah payah menyusun syot dan sebagainya kerana mereka terus beraksi untuk kamera).

Titiwangsa 4

Mereka yang saya temui begitu yakin dengan kemenangan kerana menurut mereka gerakan di akar umbi bermula sejak 2010 lagi apabila Datuk Johari mengambil-alih pimpinan kawasan Parlimen ini. Bagi mereka ini menjadikan pergerakan jentera BN di sini begitu kuat disiplinnya, teratur strateginya dan aman damai tanpa perselisihan.

Di lautan hijau pula, arus deras pluralisme jelas menjadi strategi terkehadapan. Walaupun khalayaknya bermajoritikan penyokong-penyokong PAS berkopiah, berserban dan berhijab, kumpulan minoriti bukan Islam jelas lantang diwakili dengan pemain-pemain gendang India betul-betul di barisan depan.

Keazaman tinggi untuk mempertahankan kerusi yang dirampas daripada BN pada PRU12 oleh arwah Dr. Lo’ Lo’ Ghazali tentunya serasi dengan tuntutan perjuangan beliau. Sambil bergerak di antara laungan takbir dan pukulan gendang saya sempat mendapatkan pandangan di kalangan mereka.

Mereka menyampaikan pendirian bertahan habis-habisan terhadap percubaan BN untuk mengambil kembali kerusi ini. P119 bagi mereka kerusi yang yakin dipertahankan di atas perjuangan yang dibakar semangat legasi perjuangan Dr. Lo’ Lo’ dan kepercayaan terhadap gerak kerja pengganti beliau, Ahmad Zamri yang dikatakan bekerja keras di kalangan masyarakat sini.

Keyakinan Tinggi Kedua-dua Calon Titiwangsa

Ketika memaksa kaki yang semakin berusia ini untuk berlari pecut ulang-alik 100 meter untuk merakam gambar Datuk Johari dan Ahmad Zamri bergerak pulang ke penyokong masing-masing selepas penamaan selesai, jelas bagi saya betapa kerusi majoriti Melayu ini pasti menyaksikan pertarungan hangat. Paling kurang pun di pentas kempen jika tidak pun terus ke peti-peti undi pada 5 Mei nanti.

Datuk Johari dengan langkah penuh keyakinan dan ekspresi wajah ala korporat beliau kembali ke lautan biru dengan sambutan bingit laungan dan tepukan. Sebelum ditenggelami lautan biru penyokong beliau berbual sebentar dengan kumpulan wartawan dan kemudiannya dipeluk mesra oleh ibu beliau yang tinggal di kediaman hanya beberapa minit dari sini. Kepentingan simbolik betapa kedua-duanya anak jati Parlimen Titiwangsa. Malah Datuk Johari adalah pelajar lama SAB.

Ahmad Zamri mengangkat tangan simbol kemenangan ketika menghampiri lautan hijau penyokong dan dengan yakin bertempik takbir yang terus disambut ghairah laungan dan sorakan. Sebelum lautan biru penyokong mula surut pun sudah kedengaran pengumuman melalui pembesar suara jadual kempen dan perjumpaan jentera pilihan raya.

Rakan saya Ashwad Ismail dalam analisisnya ketika bersiaran langsung di saluran Astro Awani mengamati betapa Shah Alam adalah kerusi panas dengan pertembungan ideologi berbeza khalayak kaum Melayu. Saya berpendapat di kerusi Titiwangsa ini pun begitulah jua.

Isu kemiskinan bandar, perumahan mampu milik, capaian peluang pekerjaan, peningkatan kos sara hidup dan masa depan lebih baik untuk anak-anak tentunya bakal bergema dari Kampung Baru ke Keramat ke Kampung Pandan untuk dua minggu akan datang.

Sama ada ini akan dilapisi sentimen dan perdebatan tentang aspek nilai-nilai Islam, perpaduan Melayu dan perlindungan hak milik tanah Melayu bakal kita ketahui tidak lama lagi.