Menyusuri laluan dengan pemandangan ladang buah zaitun sememangnya menyamankan. Dengan suhu sekitar 5 darjah celsius, angin yang menderu melalui tingkap boleh menyebabkan kepala membeku.

"Oii Hilal!!! Tutup la tingkap tu. Kepala ana dah beku dah ni!" jerit Syahrir kepada saya. Syahrir merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Life Line For Syria (MLLFS) yang turut menjadi orang kuat dalam misi kali ini.

Bagi orang Melayu tipikal macam saya, hari sejuk sebegini bukan senang untuk dinikmati. Maka ini masa yang diambil dengan penuh nikmat mendapatkan angin sejuk membeku di sini.

Namun, perjalanan tatkala gelap malam bukan pilihan yang baik. Serangan demi serangan oleh pihak rejim Basyar lebih aktif apabila malam menjelma. Keadaan yang kian membeku di malam hari bagai menyeksa seluruh tubuh yang hidup pada detik tersebut. Tak kisahlah dari pejuang Syiah yang mengagumi Basyar Asad, mahupun pejuang Sunni yang mahu menegakkan kedaulatan Islam di bumi Syam ini.

Semasa bergerak ke pejabat operasi sukarelawan tempatan, saya mendapati pemandu kami tidak langsung membuka lampu kereta. Kalaupun dia buka, hanya untuk tempoh beberapa saat sahaja. Itu pun untuk tujuan mengenalpasti simpang yang perlu dibelok.

Begitu juga kereta lain yang turut sama melalui jalan tersebut. Mereka hanya membuka lampu untuk setengah saat beberapa kali, bagai mata yang berkedip kedip dalam gelap, itu sudah cukup untuk mereka.

"Please off the light Hilal!" pesan Nasar, seorang sahabat sukarelawan tempatan yang setia mengiringi saya dalam memastikan keselamatan rombongan kami di sini.

Tipu jika saya tidak berdebar sepanjang perjalanan yang gelap demi mendapatkan talian internet. Saya hanya memandangnya dengan wajah pelik dan hairan sambil memadamkan lampu suluh yang disedekahkan Wan Syamsul Amly sebelum saya bertolak ke misi ini.

"They can see your light. After seconds, the bomb will be drop here!" tambah Nasar kepada saya.

"How can they see this little light?" balas saya sambil berbisik pada diri sendiri "hashtag justsaying!!".

"Night is the best time for them to bomb and go forward! Make sure you go to indoor place before you switch it on." balas Nasar.

Selang beberapa minit, lagi kedengaran bunyi bom yang meledak kawasan sekitar terutamanya di sempadan kawasan jajahan pejuang dan juga pihak rejim. Kedudukan kawasan tersebut kurang 20 kilometer dari kedudukan kami. Gegaran tetap terasa.

Saya mula faham bahawa cahaya mampu membunuh di sini.

Ia bagai satu petanda yang menarik untuk pihak rejim jadikan sebagai penunjuk lokasi kehadiran pejuang tempatan di mana-mana lokasi.

Mungkin sebab itu, kebanyakan penempatan, hanya pasang lampu yang cukup untuk kegunaan sahaja malah, lampu tersebut tidaklah cerah sehingga mampu menerangi jalan di hadapan rumah.

Untuk pengetahuan, bandar Aleppo merupakan bandar kedua terbesar selepas Damsyik yang juga bandar industri yang menyumbang sumber ekonomi yang besar buat Syria.

Bandar ini putus bekalan elektrik sejak pemberontakan berlaku pada 2011. Hingga kini, penduduk mengharapkan bantuan generator dan juga "powerbank" dalam saiz tong minyak untuk menikmati nikmat tenaga elektrik.