Tutup

Dan Oscar menjadi milik...

Oscar

Acara gilang-gemilang, Academy Awards atau Oscar dianjurkan sedikit lewat tahun ini kerana memberi ruang kepada Winter Olympics. Kali terakhir Oscar diadakan pada bulan Mac ialah tahun 2010.

Sejak senarai pencalonannya diumumkan pertengahan Januari lalu, pelbagai andaian dilakukan. Saya tidak terkecuali dan merasakan betapa lambatnya untuk melihat ramalan itu tepat atau tersasar.

Menjelang beberapa jam lagi sebelum keputusan diumumkan (siaran langsung ditayangkan di saluran Fox Movies Premium, 413 seawal pukul 8.30 pagi Isnin ini), saya ingin berkongsi ramalan saya untuk pemenang Oscar ke-86.

Filem Terbaik: 12 Years A Slave

Filem arahan Steve McQueen ini diangkat sebagai Filem Terbaik dalam kebanyakan festival sejak membuka tayangan perdana di Festival Filem Toronto.

Nampaknya barisan pelabur serta penerbit, termasuk Brad Pitt berkempen habis-habisan sejak musim anugerah di Hollywood bermula dan selepas hampir setengah tahun, khalayak masih bercakap mengenainya. 

Diadaptasi dari kisah benar tulisan Solomon Northup, 12 Years A Slave mempunyai ciri-ciri ‘klasik’ untuk membawa pulang trofi Filem Terbaik - disayangi pengkritik, pengarahan yang cemerlang, persembahan lakonan yang baik serta naratif sejarah yang kuat dalam genre drama berat.

Oscar


Walaupun Oscar pernah menolak naskhah biopik untuk diangkat sebagai Filem Terbaik, sebagai contoh Lincoln pada tahun lalu, namun 12 Years A Slave mempunyai beberapa kelebihan, antaranya subjek perhambaan itu sendiri.

Bekas Presiden Afrika Selatan, Nelson Mandela tiada kena-mengena dengan filem ini. Namun, saya merasakan pemergiannya Disember lalu sedikit sebanyak barangkali mempengaruhi sentimen pengundi Oscar terhadap isu perhambaan serta ‘keprihatinan’ terhadap golongan Afrika-Amerika secara umumnya.

Memberikan saingan sengit kepada 12 Years A Slave ialah Gravity, tetapi jika mengikut trek rekod anugerah berprestij ini, jarang sekali mereka mengangkat filem sains fiksyen sebagai Filem Terbaik.
Pengarah Terbaik: Alfonso Cuaron (Gravity)

Cuaron bakal mengulangi kejayaan Ang Lee tahun lalu menerusi Life of Pi di mana dia hanya memenangi trofi untuk pengarahan, tetapi filemnya tewas.

Apatah lagi selepas mengungguli trofi utama dari Directors Guild of America, kejayaan Cuaron untuk Oscar hampir pasti. 

Empat setengah tahun mengerjakan Gravity, pengarah kelahiran Mexico ini disanjung kerana kehalusan dan ketelitiannya. Walaupun ceritanya hanya berpusat pada satu lokasi iaitu angkasa lepas, Cuaron mampu membuatkan penonton terpaku.

Oscar

Bukan saja di tempat duduk tetapi terpaku kekaguman dengan aspek teknikal dan visual yang menjadi satu lagi penanda aras kehebatan Hollywood, tanpa melupakan kraf penceritaan dan pembangunan karakter utamanya, yang juga memberi fokus kepada seorang pelakon saja.

Dengan Cuaron sebagai ‘kepalanya’, Gravity diramalkan menang hampir kesemua kategori teknikal yang dipertandingkan. Tidak hairanlah filem ini menerima 10 pencalonan iaitu jumlah paling banyak selain American Hustle.

Begitupun, jika nama Steve McQueen yang diumumkan nanti, dia adalah pengarah berkulit hitam pertama yang memenangi trofi Pengarah Terbaik Oscar. (Untuk rekod, selain McQueen, hanya John Singleton dan Lee Daniels yang pernah dicalonkan).

Pelakon Lelaki Terbaik: Matthew McConaughey (Dallas Buyers Club)

Matthew McConaughey hilang 40 paun untuk menjayakan watak pesakit AIDS dalam Dallas Buyers Club.

Hollywood, terutamanya pengundi Oscar, amat menggemari kerja-kerja transformasi berat yang dilakukan seseorang pelakon, lebih-lebih lagi jika ia diinspirasikan dari kisah insan yang benar-benar wujud.
Tidak hairan apabila McConaughey menjadi kesayangan musim anugerah ini.

Oscar

Transformasi itu bukan saja dari segi fizikal, tetapi transformasi McConaughey dari aktor yang bermula dengan filem-filem ringan komedi romantik sehinggalah disegani sebagai pelakon dengan kalibernya sendiri.

Bagaimanapun, kejutan mungkin berlaku apabila Oscar memilih Leonardo Dicaprio (The Wolf of Wall Street) sebagai pemenang. Selepas tiga kali ditolak (termasuk watak pembantu dalam What’s Eating Gilbert Grape, 1994), tidak mustahil pengundi berlembut hati, apatah lagi dia sudah menang Golden Globe.

Pelakon Wanita Terbaik: Cate Blanchett (Blue Jasmine)

Ketika saya menonton Gravity di pawagam, saya berpendapat, beri sajalah trofi Oscar kepada Sandra Bullock.

Bukan saja kerana persembahan yang ‘wow’, tetapi Bullock adalah pelakon tunggal yang menggerakkan keseluruhan cerita. Tanpa kemampuannya memahami watak Ryan Stone, emosi Gravity tidak akan sekuat itu.

Oscar

Bagaimanapun, selepas membaca ulasan filem Blue Jasmine dan puji-pujian terhadap Cate Blanchett, hati saya mula berbelah-bagi dengan ramalan awal tadi.

Semua orang tahu Blanchett memang pelakon yang hebat, tetapi sejauh mana kehebatannya dalam filem arahan Woody Allen itu dapat menewaskan Bullock?

Jawapannya, maaf Bullock, tahun ini bukan rezeki anda. Sepanjang menonton Blue Jasmine, mulut saya hampir ternganga melihatkan betapa ‘berkuasanya’ lakonan Blanchett dan saya masih terkesan walaupun filem sudah selesai.

Pelakon Lelaki Pembantu Terbaik: Jared Leto (Dallas Buyers Club)

Selepas hampir enam tahun tidak muncul di layar perak, Jared Leto kembali dengan kejutan. Memainkan watak mak nyah yang mengidap AIDS, dia menyapu bersih kesemua anugerah pelakon pembantu dalam mana-mana festival.

Kemenangan Leto dilihat hampir pasti kerana empat saingannya yang lain tidak begitu diperkatakan. Bukan bermakna lakonan mereka tidak hebat atau tidak diperakui, tetapi momentum publisiti dan pujian melampau yang diterima Leto sejak awal lagi tentu banyak mempengaruhi pola pengundian.

Jika pengundi Oscar mahukan keputusan yang sedikit berbeza, Barkhad Abdi dari Captain Phillips mungkin adalah pilihan yang sesuai.

Oscar

Pelakon Wanita Pembantu Terbaik: Lupita Nyong’o (12 Years A Slave) 

Saya selalu percaya apabila sesebuah filem itu dianggap terbaik, ia sekurang-kurangnya mesti mempunyai dua kriteria ini – skrip dan pelakon terbaik.

Saya meramalkan 12 Years A Slave menang kategori Lakon Layar Adaptasi Terbaik. Justeru, untuk memberikan justifikasi mengapa ia juga patut menang Filem Terbaik ialah kerana adanya pelakon seperti Lupita Nyong’o.

Tidak dinafikan dia bersaing sengit dengan Jennifer Lawrence dari American Hustle. Mereka berdua saling bertukar giliran untuk turun naik pentas meraih kemenangan dalam pelbagai festival sejak akhir tahun lalu.

Oscar

Begitupun, mengambil kira 12 Years A Slave sebagai filem cereka pertamanya memegang watak penting, undian saya berpihak kepada Nyong’o. Lebih-lebih lagi untuk karakter hamba yang diperlakukan kejam dan mengalami trauma.

Saya sebenarnya peminat setia Lawrence, tetapi bagi saya impak lakonannya dalam American Hustle tidak segah Silver Linings Playbook tahun lalu.

Kategori lain ialah:

Sinematografi Terbaik: Gravity
Suntingan Terbaik: Gravity
Lakon Layar Adaptasi Terbaik: 12 Years A Slave
Lakon Layar Asal Terbaik: Her
Visual Kesan Khas Terbaik: Gravity
Rekaan Produksi Terbaik: The Great Gatsby
Filem Animasi Terbaik: Frozen
Filem Bahasa Asing Terbaik: The Great Beauty (Itali)
Dokumentari Terbaik: The Act of Killing
Busana Terbaik: The Great Gatsby
Solekan dan Tatarias Rambut Terbaik: Dallas Buyers Club
Skor Muzik Asal Terbaik: Her
Lagu Tema Asal Terbaik: Let It Go (Frozen)
Suntingan Bunyi Terbaik: Gravity
Adunan Bunyi Terbaik: Gravity