Tutup

Kuasa lelaki bernama Anuar Zain

Kuasa lelaki bernama Anuar Zain
Dalam ketakutan artis tempatan mengambil risiko untuk mengadakan konsert berbayar (apatah lagi tampil secara solo dan tiada penaja), Anuar Zain muncul wira pada Sabtu lalu.

Stadium Malawati, Shah Alam dibanjiri lebih 6,000 peminat (rata-rata wanita pertengahan usia yang mempunyai kuasa membeli terbesar), untuk didendangkan dengan suara gemersiknya dan untuk menatap wajah tampannya.

Jumlah ini adalah jumlah yang sama (atau mungkin lebih) dari penonton yang hadir menyaksikan persembahan percuma seperti Anugerah Industri Muzik (AIM) atau Anugerah Blokbuster tahun lalu.

Peminat datang dari segenap nusantara, bukan saja dari Lembah Klang dan Sabah Sarawak, tetapi Brunei dan Singapura. 

Ada yang menghampiri pentas untuk menyerahkan bungkusan hadiah dalam beg kertas jenama Hermes sempena ulang tahun Anuar yang disambut pada Jumaat.

Ada juga seorang peminat wanita dari Brazil yang sanggup terbang jauh, selepas ‘jatuh cinta’ dengan Anuar menerusi video yang ditontonnya di YouTube tiga tahun lalu.

Harga tiket yang dikenakan bukan murah, setaraf atau mungkin lebih mahal dari konsert penyanyi antarabangsa – di antara RM88 sehingga RM698. Namun, penggemar dan pencinta Anuar tidak kisah.

Kuasa apa yang ada pada lelaki ini?

Anuar mempunyai sejarah kerjaya yang menarik. Dia bermula sebagai penyanyi duo kanak-kanak bersama Ellina, memiliki sekurang-kurangnya tiga album. 
Saya, yang bakal berusia 35 tahun pada Jun ini, turut ‘membesar’ bersama mereka. Bapa saya membelikan kesemua kaset Anuar dan Ellina semasa saya kecil dan lagu kegemaran ketika itu ialah Suasana Malam.

Sudah tentu Anuar tidak menyanyikan lagu itu kerana ia kurang popular. 

Namun, lagu Kain Pelikat bergema dalam ruang stadium sambil diiringi penari-penari cilik dari kumpulan Swatari.

Dia juga sempat menyanyikan beberapa baris lagu ikonik, Suasana Hari Raya tanpa muzik atas permintaan peminat.

Kuasa apa yang ada pada lelaki ini sehinggakan pada malam itu, dengan sedikit saja pergerakan - sama ada menari, ketawa atau menuding jari ke satu-satu arah – membuatkan peminat terus bersorak seperti guruh di langit?

Memang takdir Anuar untuk menjadi sebutir bintang sudah tertulis.

Selepas Anuar dan Ellina dibubarkan, dia ‘menghilang’ seketika, meneruskan kerjaya di awan biru sebagai pramugara. Begitupun kontrak rakaman bersama Warner Music tahun 1998 membuka peluangnya untuk aktif semula. 

Dengan vokal lantang bertenaga seperti kakaknya Ziana, Anuar dengan mudahnya mendapatkan kembali tempat dalam industri muzik Malaysia.

Bermodalkan lagu-lagu balada melankolik, antaranya Jangan Bersedih Lagi, Keabadian Cinta dan Lelaki Ini, Anuar membawakan imej yang bersih dan kemas.
Bak kata orang, dia calon menantu pilihan kerana ketertibannya, santunnya dan lemah-lembut tutur bahasa.

Datanglah sesiapa pun penyanyi lelaki yang baru, baik dari program realiti atau tidak, Anuar tetap menjadi pilihan kerana prestasinya gagal mengecewakan.

Begitupun, dia seorang yang amat tertutup apabila menyentuh soal peribadi.

Dia tidak mempunyai Myspace, Facebook, Twitter atau Instagram, bermakna dia tidak bersedia untuk berkongsi ‘lapisan dalam’ dirinya selain apa yang dipamerkan.

Baginya, cukuplah dia hanya dikenali sebagai penyanyi, ibarat jinak-jinak merpati – seronok untuk ditatap dan disayangi, tetapi sukar untuk didekati.

Bukan sombong atau bongkak diri, tetapi barangkali itulah strategi untuk dia terus menawan hati peminat agar mereka tidak puas, mahu lagi dan lagi.

Imej ‘mahal’ dan eksklusif inilah yang membuatkan pengikutnya tidak kisah berbelanja, sama ada untuk persembahannya di ruang sekecil Planet Hollywood atau di Istana Budaya atau majlis makan tengah hari Minggu Setiausaha.

Peminatnya tahu apa yang dibayar itu berbaloi dengan apa yang bakal diterima, kerana sifat Anuar sendiri yang sangat teliti dan cerewet untuk penampilannya. 

Albumnya keluar hanya empat atau lima tahun sekali tetapi kesemua lagunya dihafal dan diingati sepenuh hati. 

Dan mungkin kerana cerewet juga, hanya selepas 30 tahun menyanyi, teruna berusia 43 tahun ini baru bersedia tampil dengan konsert mega yang dibiayai sendiri Anuar Zain Network bersama label Universal Music Malaysia.

Dalam ketakutan artis tempatan mengambil risiko untuk mengadakan konsert berbayar, Anuar membuktikan dia bukan penghibur sebarangan.

Walaupun nilai bajet dirahsiakan, penonton sendiri dapat menilai kualiti Konsert Tiga Dekad: Muzik, Cinta & Sanubari.

Sistem bunyi, pencahayaan, set pentas, aturcara dan barisan pemuzik ternama yang lengkap dengan pemain orkestra, meletakkan persembahan ini dalam piawaian yang tinggi.

Anuar sebenarnya tidak perlu bercakap banyak pada malam itu.

Dia cuba berjenaka dan bermesra, malah ‘mencampakkan’ kuntuman-kuntuman mawar merah kepada penonton bertuah. 

Namun itu semua sekadar bonus, kerana apa yang lebih penting ialah alunan dan senyumannya.
I’m The Lucky One menjadi lagu pembuka tirai, diakhiri dengan Sedetik Lebih.

Ya, Anuar bertuah kerana dikurniakan ‘kuasa’ yang tidak dimiliki semua penyanyi dan saya pasti penonton pada malam itu, menginginkan lebih detik bersamanya kerana tempoh dua jam seakan sekejap.