Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

'Time' ini baru ingat TUHAN!

'Time' ini baru ingat TUHAN!
Gambar oleh : Hilal Azmi
Aleppo: Berada di zon perang bukan perkara mudah dan membahagiakan. Tetapi, masih ramai di kalangan rakyat Syria yang diperhati di sini mampu tersenyum tatkala diberi salam kepada mereka.

Pengalaman paling menakutkan buat setakat ini ialah ketika kami menemui rakan sukarelawan tempatan di bahagian media di Aleppo. Mereka mengalu-alukan kedatangan kami dengan penuh semangat dan ceria, biarpun 'soundtrack' bom, senapang dan juga helikopter berlagu dengan rancaknya ketika pertemuan ini berlangsung. Seperti yang pernah dipesan editor Astro AWANI, Zan Azlee kepada saya, "dengar saja bunyi bom, tunduk dan lari laju-laju", ketika sampai sahaja di lokasi terbabit, saya mendengar bunyi bom, lantas dengan pantas saya lari memasuki bangunan yang mengumpulkan sukarelawan media.
Sesampainya rombongan kami ke pejabat sukarelawan media untuk bandar Aleppo ini, kami mendapat kelegaaan yang tidak pernah dibayangkan nikmatnya. Itulah nikmat internet yang cukup untuk saya kirimkan beberapa kisah dan juga gambar terkini ke bilik berita Astro AWANI. Selama ini saya hanya asyik mengeluh dengan internet yang lembap di Malaysia, berbeza di sini, ada talian sudah cukup. Sekurang-kurangnya mampu berkomunikasi melalui Whatsapp dan memberikan perkhabaran terbaru kepada mak, abah dan bilik berita.

Sementara menghantar visual melalui telefon bimbit (kepunyaan sendiri), sebahagian dari kami dibawa ke beberapa kawasan perumahan yang ditinggalkan akibat serangan yang tidak henti-henti sebelum ini. Mujur saya membawa satu lagi telefon bimbit yang dibekalkan oleh Astro  AWANI untuk dibawa bersama untuk mendapatkan visual di lokasi yang hanya terletak kurang 300 meter dari kawasan yang dikuasai tentera kerajaan.

Bahagian bangunan yang tertinggal
Gambar oleh : Hilal Azmi

Tatkala kami menyusuri jalan yang kebanyakannya hancur, termasuklah beberapa pangsapuri 4 tingkat dan sebuah masjid, sukarelawan media yang mengiringi kami turut membawa kami melihat pertempuran dari tingkat 3 sebuah pangsapuri yang telah ditinggalkan.

Kami terpaksa berjaga-jaga kerana lokasi tersebut merupakan kawasan sasaran penembak curi dari pihak tentera kerajaan. Secara kebetulan, sebuah bom jenis TNT dengan berat dianggarkan 300-400 kilogram dilepaskan. Kedudukan bom yang digugurkan dari langit itu hanya 300 meter dari lokasi kami berada.

Maka selang 10 minit kami bergegas kembali ke pejabat utama sukarelawan media terbabit. Namun demikian, ketika dalam perjalanan yang mengambil masa 15 minit (dikira dari perjalanan pergi), salah seorang dari kami mendapati ada sebuah helikopter berlegar di atas pada ketinggian sekitar 10,000- 15,000 kaki.

Tingkap pecah pada salah sebuah bangunan
Gambar oleh : Hilal Azmi

Maka kami diminta berada dekat dengan dinding sekolah yang kami lalui tadi. Ketika itu, dada berdegup kencang sambil mata melangut ke langit melihat arah mana bom TNT seterusnya dilepaskan.

Di situ kami menyaksikan sebuah lagi bom dilepaskan, dan bom tersebut hanya mengambil masa kurang 30 saat untuk mencecah bumi. Mujur bom terbabit jatuh di lokasi lain kira-kira dalam lingkungan 5 kilometer dari tempat kami berdiri.

Gegaran tersebut turut dirasai. Lidah saya tidak henti-henti berselawat dan membaca ayat Kursi untuk menenangkan diri di samping berdoa agar Allah melindungi kami. Alhamdulillah kami selamat dari kejadian serangan pada hari ini.

Semasa dalam perjalanan pulang ke lokasi kami berehat, terdetik di pemikiran. Selama ini, keamanan yang dinikmati di Malaysia ada kalanya menjadikan kita  lupa kekuasaan Tuhan. Kebiasaannya, orang muda seperti saya hanya ingat Tuhan sewaktu susah dan pada hari sebelum peperiksaan berlangsung. Astaghfirullah...