Dengan kenaikan harga yang semakin naik mendadak sejak beberapa tahun lepas, warga muda dilihat kurang mampu untuk memiliki rumah mereka sendiri.

Pendapat tersebut disuarakan Naib Presiden Persatuan Pembeli Rumah, Datuk Goh Seng Toh dimana menurut beliau, antara puncanya adalah kenaikan gaji yang tidak seimbang dengan kenaikan harga rumah.

Justeru beliau menggesa agar pihak kerajaan memberi perhatian serius terhadap perkara ini.


Sementara itu, Pengerusi UDA Holdings, Datuk Johari Abdul Ghani berkata, antara masalah yang dihadapi warga kota adalah jarak perjalanan yang terpaksa ditempuhi setiap hari menyebabkan ramai yang mengeluh.

Menurut beliau, warga kota yang bekerja di bandar terpaksa membeli rumah di kawasan yang jauh daripada tempat bekerja disebabkan harga rumah yang melonjak naik dan beliau berkata ini merupakan antara sebab berlakunya kesesakan lalu lintas.


Johari menambah, dengan pembinaan lingkaran MRT yang sedang dijalankan kini dan meliputi 35 stesen, adalah penting untuk mengenalpasti kawasan yang sesuai untuk digazetkan untuk pembinaan rumah mampu milik.

Ini sekaligus dapat memudahkan warga kota untuk menggunakan pengangkutan awam ke tempat kerja serta mengurangkan kesesakan lalu lintas.

Beliau berkata demikian semasa menjadi tetamu dalam program bual bicara Sudut Pandang bersama Astro AWANI.