Tatkala dunia baru sahaja memasuki milenia baru pada tahun 2000, saya dan rakan-rakan saya di bangku sekolah ketika itu sedang giat mengulang kaji pelajaran, kerana pada tahun itu saya berusia 15 tahun dan harus sedia untuk peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang dijadualkan pada hujung tahun.

Seingat saya, guru-guru di sekolah giat menghabiskan silibus, bagi memastikan semuanya diajar mengikut sukatan yang ditentukan kerajaan, yang berpusat di Putrajaya, lebih 400 kilometer dari tempat saya bersekolah.

Sekiranya silibus ini dapat dihabiskan awal, maka ia memberi peluang kepada guru-guru saya mengadakan sesi bagi mengingat semula apa yang diajar sejak dari Tingkatan 1 hinggalah ke Tingkatan 3.

Ramai kawan-kawan saya ketika itu juga hadir ke kelas tuisyen. Maklumlah kelas tuisyen tersebut katanya diajar oleh guru-guru pakar. Ada juga yang dikatakan bukan sahaja guru yang menyemak kertas jawapan, malah guru yang buatkan soalan PMR.

Maka tidak hairanlah ada sesetengah ibu dan bapa dari kalangan rakan saya sanggup berhabis ratusan ringgit sebulan bagi melunaskan yuran tuisyen bulanan anak-anak mereka.

Tapi saya tidak begitu ambil berat mengenai "pelajaran" saya ketika itu walaupun saya diberitahu PMR itu penting. Tapi bukan pada saya. Mungkin pada pihak sekolah yang memandang kepentingan PMR dari segi KPI pencapaian murid. Ataupun pihak guru yang turut sama terkena tempias tekanan KPI yang ditetapkan pihak sekolah. Ataupun mungkin ibu bapa yang malu sekiranya anak-anak mereka tidak ada cukup "A" dalam salinan keputusan untuk dibanggakan kepada semua jiran tetangga dan sanak-saudara.

Bagi saya yang masih belia remaja ketika itu saya tidak nampak peri pentingnya untuk saya mendapat 8A dalam peperiksaan tersebut. Bagi saya, ia hanya menguji sejauh mana saya dapat menghafal atau mengaplikasi teori yang dihafal.

Apa yang saya tidak faham lagi kenapa kejayaan seseorang itu harus diukur menerusi bilangan "A" yang diperoleh peperiksaan, terutama sekali peperiksaan peringkat nasional di mana soalan dan jawapannya adalah seragam seluruh negara?

Sedangkan menurut Pengerusi Yayasan Guru Malaysia, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom dalam satu temubual bersama Astro AWANI menyebut tujuan utama PMR ialah bagi menilai kedudukan anak-anak kita pada usia 15 tahun (dalam pelajaran) dan bidang-bidang yang sesuai untuk dimasuki mereka apabila melangkah ke peringkat menengah atas.

"PMR memberi peluang untuk mereka memilih bidang yang mereka ada bakat dan mereka sukai untuk masa depan mereka", jelasnya yang juga pernah menjadi Pengetua Kolej Melayu Kuala Kangsar.

Jadi persoalan yang saya mahu lemparkan ketika ini ialah; kenapa kita tidak boleh mengenalpasti dan memberi peluang kepada pelajar untuk mengenalpasti dan memilih bidang yang mereka minat sejak dari awal lagi?

Kalau pun mereka dibenar untuk memilih sejak awal, ekosistem yang bagaimanakah harus diwujudkan agar bidang yang mereka pilih sejak dari muda ini mampu memberikan kehidupan yang baik ketika mereka dewasa kelak?

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Terato Tech Reza Razali, anak-anak muda harus digalakkan bergaul dengan golongan yang mempunyai minat yang sama sejak dari kecil.

"Selalunya kita hanya berkawan dengan rakan-rakan disekitar tempat tinggal kita. Mereka mungkin mempunyai minat dan bakat yang berbeza. Tetapi sekiranya kita berkawan dengan orang yang mempunyai minat dan bakat yang sama, maka kita sudah boleh berusaha ke arah merealisasikan minat itu sejak dari awal lagi," jelas Reza.

Mungkin itulah yang menyebabkan kerajaan melaksanakan Penilaian Berasaskan Sekolah bagi mengantikan PMR yang akan dihentikan bermula tahun depan.

Menurut kenyataan yang dipetik dari Kementerian Pendidikan, PBS menilai murid berdasarkan keupayaan, kebolehan, bakat, kemahiran dan potensi diri tanpa dibandingkan dengan orang lain.

Cabaranya kini tentunya terarah kepada pelaksanaan PBS dan bagaimana mengenalpasti bakat dan minat anak-anak sejak dari kecil lagi supaya dapat digilap dari awal.

Untuk itu, Sudut Pandang minggu ini akan membincangkan topik "Mengenal Pasti Aspirasi Anak-Anak" bersama tetamu yang terdiri daripada tokoh kaunseling dan tokoh-tokoh perniagaan muda.

Sudut Pandang bersiaran pada Jumaat, jam 9.00 malam hingga 10.00 malam.