Lensa AWANI: Gunung Baha - Gunung Ayam - Gunung Stong

Mencari kelainan dan mencuba sesuatu yang tidak pernah orang lain buat merupakan misi team LensaAWANI ketika memutuskan mahu menawan tiga puncak yang berada di Negeri Cik Siti Wan Kembang. Kebiasaannya pendaki lain akan mengambil masa satu hari untuk menawan tiga puncak di Gunung Baha, Gunung Ayam dan Gunung Stong yang terletak di Dabong, Kelantan. Namun, team Lensa AWANI merasakan tidak ada bezanya mereka dengan orang lain jika mengambil masa satu hari untuk berada di tiga puncak yang terkenal di Kelantan itu. Mereka nekad, misi menawan tiga puncak mesti dihabiskan dalam masa kurang dari 24 jam. Bermula pukul 7 pagi, team Lensa AWANI memulakan misi menawan puncak Gunung Baha. Tidak ada yang mustahil. Demi bersahabat dengan alam dan menawan tiga puncak, team Lensa AWANI meredah kepayahan dan melawan rasa gusar yang bersarang di dada. Puncak demi puncak ditawan. Selepas Gunung Baha, Team Lensa AWANI tidak berehat lama dan meneruskan misi ke puncak Gunung Ayam sebelum terus ke Gunung Stong. Tiba di Gunung Stong pada waktu malam dan memutuskan untuk turun ketika waktu gelap merupakan satu cabaran, namun kerana misinya perlu kembali ke bawah sebelum 24 jam, mereka tetap teruskan biarpun ia benar-benar menguji team Lensa AWANI. Pukul 1 pagi, team Lensa AWANI sudah berada di bawah. 18 jam diambil untuk menawan tiga puncak. Misi yang banyak menguji kesabaran namun dengan semangat setiakawan dan berpegang dengan kata-kata tiada yang mustahil, team Lensa AWANI menawan puncak Gunung Baha, Gunung Ayam dan Gunung Stong dalam masa kurang 24 jam. Semuanya boleh kalau kita mahu.