#AWANIRangers: Projek Baju Raya Prelove

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah mengadakan program amal "Projek Prelove Baju Raya" yang berlangsung selama seminggu bermula 20 hingga 27 April lalu. Program ini diadakan bagi membantu golongan berpendapatan rendah dan kurang bernasib baik membuat persiapan raya memandangkan umat islam bakal menyambut hari lebaran tidak lama lagi. Sambutan yang diterima daripada warga Parit Raja serta pelajar UTHM amat mengalakkan ditambah pula dengan kerjasama yang diberikan oleh Dobi Al-Hijrah dan pihak universiti menjadikan projek ini berjalan dengan lancar. Keprihatinan warga Parit Raja ini mampu memberi sebuah senyuman yang amat bermakna kepada penduduk setempat yang kurang bernasib baik dan memerlukan bantuan. Bagi meneruskan peranan UTHM sebagai Universiti Untuk Masyarakat, para sukarelawan universiti ini akan terus membawa slogan "Kebahagiaan dikongsi Bersama? dalam melaksanakan program-program berbentuk khidmat komuniti. Laporan disediakan oleh Titi Aryani Togio dan Anbia Adam. Disunting oleh Suriayati Baharom. AWANIRangers ialah inisiatif terbaharu Astro AWANI dan berfungsi sebagai platform buat mahasiswa dan mahasiswi di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak untuk menyumbang kreativiti mereka dalam bentuk penulisan dan multimedia.