MPSP arah henti kerja pembinaan kilang

Majlis Perbandaran Seberang Perai MPSP sudah mengeluarkan arahan henti kerja di kawasan pembinaan semula bangunan kilang di Lorong Perusahaan Maju 8. Menurut Yang diPertuanya, Datuk Rozali Mohamud arahan pemberhentian kerja dikeluarkan serta merta mengikut seksyen 70 (9)(B), Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974. Salinan arahan itu turut diberikan kepada pemaju, serta Lembaga Jurutera Malaysia. Beliau menambah pihak bertanggungjawab perlu segera mengemukakan surat kemungkiran pembinaan yang dijalankan berkenaan struktur bangunan runtuh, serta mengemukakan tindakan pemulihan yang diambil. Dalam pada itu MPSP telah membuat pemantauan di tapak pembinaan dan meminta maklumbalas pihak bertanggungjawab untuk tindakan pembetulan kesalahan bagi membuat laporan lengkap dengan kerjasama Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH).