Pergerakan Puteri UMNO meminta kajian semula Prosedur Operasi Standard (SOP) semasa musim banjir yang melibatkan aspek pengurusan bantuan perubatan dan rawatan dengan turut mengambil kira langkah-langkah menghadapi banjir di luar jangka.

Ketuanya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, banjir luar biasa yang melanda Pantai Timur kini adalah contoh terbaik perlunya kajian itu dalam usaha memastikan kaedah lebih sistematik menghadapi sebarang kemungkinan.

"Setelah melihat sendiri masalah yang dihadapi mangsa banjir, saya merasakan beberapa langkah awal perlu diambil sebagai persediaan menghadapi banjir, antaranya semua klinik dan pusat kesihatan seluruh negeri yang terletak di kawasan mudah dinaiki air perlu menambah bekalan ubat mungkin dua kali ganda berbanding sebelum musim tengkujuh.

"Stok bekalan ubat-ubatan juga perlu mengambil kira penyakit-penyakit bawaan air yang mungkin dihadapi oleh mangsa banjir dan dipastikan mencukupi," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mas Ermieyati berkata demikian selepas lawatan ke Kuala Krai, Kelantan bagi melihat sendiri masalah yang dihadapi mangsa banjir terutama dalam aspek rawatan kesihatan.

Jelasnya, pegawai-pegawai perubatan yang ditugaskan semasa musim banjir juga perlu ditetapkan lebih awal dan ditempatkan ke kawasan-kawasan tertentu terutama di kawasan kritikal banjir.

"Berdasarkan tinjauan saya sepanjang hari ini didapati setiap klinik harus membuat persediaan daripada segi logistik dan kemudahan lain termasuk memastikan generator berfungsi sekiranya bekalan elektrik terpaksa dipotong dan bekalan diesel mencukupi untuk menggerakkan generator.

"Banjir kali ini memang teruk dan ia tidak dijangka sama sekali, sebab itu persediaan yang dibuat perlu mengambil kira sesuatu yang di luar jangka," ujarnya.

Katanya lagi, Jabatan Meteorologi juga diminta agar lebih proaktif dengan memberi amaran awal jika ramalan cuaca menjangkakan cuaca akan menjadi sangat buruk dan memaklumkan lebih awal jika berlaku fenomena tertentu seperti 'New Moon' yang dikaitkan dengan banjir besar kali ini.