Tengku Puan Pahang Tengku Hajjah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah mahu semua petugas yang ditempatkan di pusat pemindahan agar memastikan barangan yang dihantar adalah berkualiti.

Titah baginda, ia bagi mengelak berlakunya keracunan makanan kepada penduduk terjejas banjir.

Titah baginda, soal pemakanan dan kebersihan di pusat pemindahan perlu dititikberatkan bagi mengelak berlakunya perkara yang boleh mengundang penyakit kepada penduduk terjejas banjir, yang rata-rata adalah dari kalangan orang tua dan kanak-kanak yang menginap di pusat pemindahan.

Tambah baginda, amalan kebersihan yang kurang baik atau penyediaan makanan yang tidak betul menjadi punca pencemaran makanan.

Selain itu amalan kebersihan oleh petugas dan mereka terjejas banjir perlu diterapkan, sepanjang tempoh mereka menetap di sesebuah pusat pemindahan bagi mengekalkan tahap kebersihan.

"Saya cuma minta kepada pusat banjir yang menerima seperti askar atau siapa-siapa, tentukan makanan yang diterima tu yang dah busuk ker atau dah expired ker, kerana kita kena juga menjaga kesihatan yang pindah ke pusat banjir ni, ada orang tua, ada budak, ada yang sakit, ada OKU,” jelas baginda.

Baginda sebelum itu ditemui pemberita selepas berkenan mencemar duli menyediakan hidangan kepada penduduk terjejas banjir di pusat pemindahan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Paloh Hinai, di Pekan, Pahang.

Pada kunjungan itu, baginda serta paduka-paduka puteri anakanda menyediakan makanan tengahari untuk dihidangkan kepada 1,305 orang yang ditempatkan di pusat pemindahan terbabit.

"Rasa seronokla.. Tengok macam ni kan..Tengku ada datang apa semua..tengok layanan kita macam ni, Alhamdulillah syukurla kepada tuhan," kata Jamaliah Abdul Manaf, salah seorang penduduk terjejas.

"Perasaan tu rasa terharu la bila ada kerabat diraja datangkan..kira rasa macam bagi semangat lagi pada kita kan..lagi nak datang masak kat sini..lagi tak tahu nak cakap macamana," tambah Junainah Ahmad.

Dalam pada itu Tengku Puan Pahang mengharapkan mereka yang terjejas banjir di seluruh negara supaya tabah menjalani ujian Allah, dan berharap keadaan kembali pulih seperti sediakala.