Pendekatan yang strategik dan efektif diperlukan agar bantuan kepada mangsa banjir bukan sahaja dapat diuruskan dengan bagus tetapi ia dapat memanfaatkan masyarakat.

Presiden Mercy Malaysia Datuk Dr Ahmad Faizal Perdaus, dalam program Agenda AWANI pada Jumaat, berpendapat bahawa koordinasi, penyebaran dan perkongsian maklumat penting dalam apa jua misi kemanusiaan.

“Mesti ada proses bagi pihak-pihak yang hendak menyumbang barangan untuk meneliti apa yang diperlukan oleh masyarakat ketika ini.

“Contohnya, lilin diperlukan sebab bekalan elektrik sudah putus ketika ini,” jelasnya.


Beliau turut memuji koordinasi Majlis Keselamatan Negara yang beliau anggap lebih baik berbanding tahun-tahun sebelum ini.

Bagi pihak Mercy Malaysia pula, yang sudah 15 tahun berkecimpung dalam misi bantuan kemanusiaan, pihak mereka melebarkan jalur perkongsian maklumat dengan pihak syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan swasta.

Ini memberikan kelebihan kepada mereka dalam misi bantuan mangsa banjir.

“Lima tan bahan makanan disalurkan ke empat lokasi dengan menggunakan helikopter yang disumbangkan oleh pihak swasta,” katanya.