Sesi persekolahan untuk sekolah terjejas banjir termasuk yang dijadikan pusat pemindahan akan ditangguhkan sehingga keadaan banjir kembali pulih, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan berkata ia akan diumumkan oleh Pengarah Jabatan Pendidikan negeri bergantung kepada perkembangan banjir di negeri masing-masing.

"Kita lihat dulu, kalau keadaan memerlukan ... boleh dilambatkan (sesi persekolahan) kerana sekolah dijadikan sebagai pusat pemindahan banjir dan itu tidak jadi masalah.

"Semua prosedur operasi standard (SOP) tentang perkara itu telah sedia ada. Pegawai Jabatan Pendidikan peringkat negeri dan daerah pun tahu, malah guru besar pun tahu, jadi tidak ada masalah," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat pusat pemindahan banjir di Dewan Sukan Pahang (Sukpa) di sini hari ini. Turut serta Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob.

Sesi persekolahan 2015 di Kedah, Johor, Kelantan dan Terengganu dijadualkan 4 Jan manakala Pahang, Perlis, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Sabah, Sarawak, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya pada 5 Jan.

Ketika diminta mengulas sama ada kerajaan berhasrat memberikan bantuan khas persekolahan di negeri-negeri yang teruk terjejas banjir, Muhyiddin berkata perkara itu belum diputuskan.

"Saya tak nak bincang tentang perkara itu, kalau untuk persekolahan, sama ada mereka ini terlibat dengan banjir atau tidak, memang ada bantuan awal persekolahan yang Perdana Menteri telah umumkan, kita laksanakan sehingga kini.

"Itu akan dibayar selepas sekolah dibuka dan setiap pelajar akan diberikan bantuan sebanyak RM100, jadi itu akan disampaikan kepada keluarga terlibat. Tetapi untuk banjir ini saya belum mahu umum apa-apa, ini akan diberitahu dalam tempoh masa yang sesuai," katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata perkara yang penting ketika ini adalah usaha memastikan nyawa mereka yang terlibat dengan banjir dalam keadaan selamat selain kebajikan mereka terjaga.