Skip to main content

Bisnes

21 institusi kewangan global bergabung lancar 'stablecoin'

41642131902_cryptocurrency.jpg
Syarikat yang masih belum dinamakan itu dijangka ditubuhkan pada separuh kedua 2026, tertakluk kepada penyelesaian prosedur yang diperlukan. - Gambar hiasan
Advertisement

ISTANBUL: Sekumpulan 21 institusi kewangan global utama termasuk Bank of America, Wells Fargo, Deutsche Bank dan UBS mengumumkan rancangan untuk menubuhkan sebuah syarikat bersama bagi menyokong penerbitan stablecoin, lapor Anadolu Ajansi.

Syarikat yang masih belum dinamakan itu dijangka ditubuhkan pada separuh kedua 2026, tertakluk kepada penyelesaian prosedur yang diperlukan, menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan pada Selasa.

Syarikat berkenaan merancang untuk beroperasi di seluruh dunia dan pada peringkat awal memberi tumpuan kepada penerbitan stablecoin berdenominasi dolar AS, yang dijadual memasuki pasaran pada separuh pertama 2027.

Kumpulan itu kemudiannya menyasarkan untuk mengembangkan stablecoin berdenominasi mata wang Kumpulan Tujuh (G7) yang lain, dengan mata wang euro dikenal pasti sebagai keutamaan.

Stablecoin yang dicadangkan itu boleh digunakan dalam pasaran borong, institusi dan runcit, termasuk bagi pembayaran rentas sempadan serta penyelesaian aset digital.

Kumpulan itu berkata projek berkenaan akan memanfaatkan kepakaran institusi yang terlibat dalam pematuhan, tadbir urus dan pengurusan risiko, selain mematuhi, jika berkenaan, Akta GENIUS Amerika Syarikat serta rangka kerja kawal selia Pasaran Aset Kripto (MiCA) Kesatuan Eropah.

Projek itu susulan pengumuman pada Oktober 2025 apabila 10 bank berkata mereka sedang meneroka penerbitan bentuk wang digital yang disokong rizab dan boleh digunakan pada rangkaian blockchain awam.

Kumpulan yang diperluas itu terdiri daripada Bank of America, Capital One, Citi, Fidelity Investments, Goldman Sachs, PNC Financial Services, Scotiabank, TD Bank Group, Wells Fargo dan WisdomTree dari Amerika Utara.

Peserta dari Eropah pula termasuk Banco Santander, BBVA, Commerzbank, Credit Agricole, Deutsche Bank, Lloyds Banking Group, Rabobank dan UBS.

MUFG Bank dari Jepun, Sirius International Holding yang berpangkalan di Abu Dhabi serta Standard Bank dari Afrika Selatan turut mengambil bahagian.

Stablecoin ialah aset digital yang direka untuk mengekalkan nilai yang stabil dengan dipautkan kepada aset konvensional, lazimnya mata wang seperti dolar AS. Ia semakin diterokai untuk tujuan pembayaran dan penyelesaian transaksi kerana urus niaga berasaskan blockchain boleh beroperasi sepanjang masa dan merentasi sempadan.

-- BERNAMA-ANADOLU

Must Watch Video

Advertisement