Skip to main content

Bisnes

2,688 projek pelaburan sektor perkilangan bernilai RM318.5 bilion direalisasikan - MITI

61723697210_TBMiti.jpg
Bagi pelaburan yang direalisasikan, secara lazimnya, projek yang diluluskan mengambil masa antara 18 hingga 24 bulan untuk dilaksanakan, tertakluk kepada kompleksiti dan skala projek serta keadaan ekonomi semasa. - Gambar fail
Advertisement

KUALA LUMPUR: Sebanyak 2,688 projek pelaburan dalam sektor perkilangan telah direalisasikan dengan nilai RM318.5 bilion bagi tempoh 2023 sehingga Mac 2026, menurut Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

Kementerian itu menjelaskan daripada jumlah tersebut, nilai pelaburan domestik adalah sebanyak RM63.3 bilion (19.9 peratus) manakala pelaburan asing berjumlah RM255.2 bilion (80.1 peratus)., dengan pelaksanaan projek tersebut telah mewujudkan 210,546 peluang pekerjaan.

“Kerajaan MADANI, menerusi MITI dan MIDA (Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia) sentiasa komited dalam memastikan pelaburan-pelaburan yang diluluskan dapat direalisasikan pada kadar yang tinggi dan dalam tempoh yang munasabah.

“Sekali gus menyumbang kepada kesan limpahan ekonomi, termasuk peluang perniagaan dan  penciptaan pekerjaan berkemahiran tinggi kepada rakyat,” tambah MITI menerusi jawapan bertulis Dewan Rakyat yang disiarkan di laman sesawang Parlimen pada Selasa.

MITI memaklumkan, bagi pelaburan yang direalisasikan, secara lazimnya, projek yang diluluskan mengambil masa antara 18 hingga 24 bulan untuk dilaksanakan, tertakluk kepada kompleksiti dan skala projek serta keadaan ekonomi semasa.

Lima negeri yang mencatat nilai pelaburan direalisasikan tertinggi iaitu Pulau Pinang, Kedah, Selangor, Johor dan Negeri Sembilan, mewakili 84.3 peratus daripada jumlah keseluruhan pelaburan yang direalisasikan bagi tempoh 2023 sehingga Mac 2026, jelas kementerian itu.

Menurut MITI, sebanyak 3,847 projek pelaburan dengan nilai RM427.9 bilion telah diluluskan bagi tempoh 2023 sehingga Mac 2026, dengan pelaburan dalam sektor perkilangan itu dijangka mewujudkan sebanyak 302,058 peluang pekerjaan baharu.

Daripada jumlah pelaburan tersebut, nilai pelaburan domestik berjumlah RM93.9 bilion (21.9 peratus), manakala pelaburan asing berjumlah RM334.0 bilion (78.1 peratus), tambahnya.

Lima negeri yang mencatat kelulusan pelaburan tertinggi bagi sektor perkilangan ialah Pulau Pinang, Kedah, Selangor, Johor dan Negeri Sembilan, yang menyumbang 81 peratus daripada jumlah keseluruhan. 

MITI menyatakan demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PN-Beluran) mengenai pelaburan domestik dan pelaburan langsung asing yang diluluskan sejak 2023 yang telah direalisasikan termasuk nilai pelaburan, jumlah pekerjaan sebenar yang diwujudkan, dan prestasinya mengikut negeri.

Sementara itu, menjawab soalan Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut) mengenai usaha kerajaan menarik syarikat teknologi dan industri bertaraf dunia untuk melabur di Malaysia, MITI menjelaskan pihaknya bersama-sama agensi iaitu MIDA sentiasa melaksanakan pelbagai usaha strategik bagi menarik syarikat teknologi dan industri bertaraf dunia.

Antaranya menerusi Misi Perdagangan dan Pelaburan (TIM) secara bersasar, melaksanakan pendekatan “Strike Force” dan Misi Projek Khusus serta menawarkan insentif berasaskan keberhasilan, tambah kementerian itu.

MITI memaklumkan, di samping usaha menarik pelaburan baharu, kerajaan turut memberi tumpuan kepada aspek fasilitasi pelaburan di sepanjang ‘investor journey’, bermula dari fasa prapelaburan sehingga pelaksanaan dan pascapelaburan bagi memastikan syarikat teknologi dan industri bertaraf dunia mendapat sokongan yang diperlukan.

“Melangkah ke hadapan, kerajaan akan terus memperkukuh daya tarikan Malaysia sebagai hab pelaburan serantau melalui dasar yang konsisten, ekosistem industri yang berdaya saing, pemudahcaraan pelaburan yang cekap serta pembangunan bakat dan teknologi.

“Pendekatan ini diyakini dapat terus menarik syarikat teknologi dan industri bertaraf dunia untuk melabur, berkembang dan menjadikan Malaysia sebagai pangkalan operasi strategik di rantau ini,” menurut MITI.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement