KOTA KINABALU: Kewujudan empat loji penjana kuasa bebas (IPP) bagi menyalur tenaga ke Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) telah berjaya meyakinkan pelbagai pelabur.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Perkhidmatan Korporat KKIP, Cecilia Amid berkata, faktor ini memberi keyakinan kepada pelabur bahawa gangguan kuasa tenaga elektrik boleh dikurangkan ke tahap yang paling minimum.

Katanya, kedudukan KKIP juga terletak hanya 7 km dari Pelabuhan Kontena Sepanggar dan lokasi strategik Pelabuhan Sepangar berpotensi menjadikan sebagai pusat pemindahan dan logistik di Sabah serta kesemua bandar raya utama di Asia.

"Memandangkan lokasi Sabah strategik dalam BIMP-EAGA, ini membuka banyak peluang pelaburan langsung dan perdagangan sempadan dengan pembangunan di negara jiran Brunei, Indonesia, Malaysia dan Filipina," katanya kepada DagangNews.com, baru-baru ini.

Menurut Cecilia, sejak 9 Disember 2015, sebanyak 80% daripada Zon Perindustrian Lapan (IZ 8) yang diperuntukkan untuk Pusat Pengeluaran Halal (HALMAS Halal Park) untuk dibangunkan di KKIP telah berjaya menarik pelbagai pelabur.

Beliau berkata, Hab Halal di KKIP telah memenuhi semua syarat dan mendapat pengisytiharan daripada Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC) Malaysia pada 9 Disember 2015.

Mengikut data yang sedia ada, pada tahun 2020, industri halal menyumbang sebanyak RM9.7 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.

Laporan Unit Perancang Ekonomi (EPU) menunjukkan segmen pasaran halal dijangka menyumbang kepada 8.1 peratus KDNK negara dan mampu menjana pendapatan eksport sebanyak RM56 bilion pada 2025.

"Industri-industri yang disasarkan untuk Hab Halal ialah kilang pembuatan makanan dan minuman, kosmetik, produk penjagaan kulit, farmaseutikal dan barang pengguna yang bergerak pantas (FMCG)," kata Cecilia.

Menurutnya, satu daripada pelabur ialah Fraser & Neave Holdings Berhad (F&NHB) iaitu antara syarikat makanan dan minuman tertua dan paling mampan di rantau ini serta diiktiraf sebagai peneraju pasaran dan nama isi rumah dalam banyak kategori.

F&NHB terlibat dalam pembuatan, penjualan dan pemasaran minuman ringan dan produk tenusu, aktiviti pembangunan hartanah dan penyediaan perkhidmatan pengurusan.

Pengurus Jualan dan Pemasaran, Sean Teau berkata, bersebelahan dengan IZ 8 di KKIP itu, anak syarikat SKC Co, sebuah syarikat Fortune 500 Korea, SK Nexilis dilaporkan akan melabur RM2.3 bilion.

‘’Syarikat tersebut berpotensi untuk mencipta 400 peluang pekerjaan. Pembinaan kilang pembuatan yang dimulakan pada bulan Julai 2021, sedang berjalan dengan lancar," katanya..

Cecilia berkata, kejayaan untuk menarik pelbagai pelabur ke Hab Halal di KKIP mesti dikaji selidik secara holistik dan keseluruhannya.

KKIP yang merangkumi kawasan lebih dari 3,500 hektar dilancarkan pada 28 November 1995, pelan induknya adalah untuk menjadikan kawasan ini sebagai taman perindustrian bersepadu sepenuhnya.

"KKIP telah pun menyediakan kemudahan premis, teknologi dan platform digital yang diperlukan usahawan dalam sektor berkenaan.

"Untuk Fasa 1, selain dari Hab Halal pelbagai pelabur dari Taiwan, Jepun, Korea, Sweden, Indonesia dan Switzerland telah melabur di sektor pembuatan berasaskan kayu, logam, getah dan plastik, seramik, elektrik dan elektronik, automotif, perkhidmatan logistik dan pergudangan," jelas beliau.   

Lain-lain kawasan perindustrian yang sedang dibangunkan di KKIP ialah Hab Logistik, Hab Biotech, Hab Aeroangkasa, Hab Auto City, Pusat Latihan Aeroangkasa dan lain-lain lagi.

Pada masa kini di KKIP, hanya baki keluasan 20 ekar kawasan perindustrian yang tersedia untuk Hab Halal dibangunkan.

‘’Kita masih memproses dan mengkaji semua pertanyaan dari usahawan-usahawan yang berminat melabur di Hab Halal. Semua pertanyaan boleh diajukan terus ke Sean Teau atau  Victor Petrus," kata Cecilia. 


Artikel asal di DagangNews.com