4 sebab bagaimana BIM boleh bekalkan rumah mampu milik

Luqman Hariz
Mac 22, 2016 23:44 MYT
BIM merupakan teknologi pendigitalan pembinaan sesebuah bangunan atau kediaman. - Foto Bernama
Apa itu BIM?
BIM adalah singkatan bagi Building Information Modeling.
BIM merupakan teknologi pendigitalan pembinaan sesebuah bangunan atau kediaman.
Jika sebelum ini pembinaan melibatkan banyak pihak menerusi beberapa peringkat berbeza, perisian BIM menggabungkan semua proses ini.
Jadi bagaimana penggunaan BIM di dalam sektor pembinaan negara berupaya membantu usaha membina lebih banyak rumah mampu milik?
1. Kos dijimatkan dengan pelan binaan lebih tepat
Proses pembinaan di Malaysia kini dilakukan berdasarkan lukisan dua dimensi.
Berbeza dengan ini, BIM melibatkan proses mereka bentuk secara tiga dimensi.
Ianya mengandungi semua maklumat termasuk bahan binaan yang digunakan, kos terperinci setiap bahagian rumah, ukuran setiap bahagian yang dibina dan sebagainya.
Ini menjamin ketepatan maksimum bagi setiap unit yang dibina.
2. Kurang pembaziran
Ketepatan maksimum dalam pembinaan bermakna kurangnya berlaku pembaziran.
“Serta-merta, anda boleh tahu berapa banyak bahan binaan yang diperlukan. Jadi ia akan mengurangkan pembaziran,” kata Ooi Choon Lim, pengarah syarikat pembinaan BOSB World Sdn. Bhd.
Katanya, ini termasuk mengelakkan pembaziran bagi kos tenaga kerja tambahan ekoran pelanjutan tempoh projek akibat membetulkan kesalahan dalam pelan.
“Situasi lebihan pekerja juga tidak akan wujud lagi, ini menjimatkan kos,” tambahnya.
3. Komunikasi baik antara semua pihak
Menurut Pengurus ASEAN, Institut Jurukur Bertauliah Diraja (RICS) Salim Aslam, salah satu ciri utama BIM merupakan platform digitalnya yang dapat diakses dan diisi oleh semua pihak.
“Pada masa ini, isu dalam sektor pembinaan adalah semua pihak bekerja secara berasingan.
“Arkitek menerbitkan reka bentuk berdasarkan kontrak. Tetapi kadangkala mereka tidak melihat kesan kepada pihak hiliran. Jadi peringkat seterusnya, juru ukur bahan akan mengambil reka bentuk itu dan mereka akan dapati ada kekurangan dalam reka bentuk itu.
“Mereka kemudian perlu bekerja lebih untuk mengisi kekurangan itu.
“Dengan BIM, kita dapat mengelakkan ini dari berlaku sekaligus menjimatkan masa dan kos,” katanya.
4. Lebih ketelusan dalam kos pembinaan
Berapakah kos sebenar pembinaan rumah anda?
Menurut Salim Aslam, sistem BIM memerlukan semua pihak termasuk perunding, arkitek dan kontraktor memperincikan setiap kos mereka dalam melengkapkan sesebuah projek.
Ini tidak memberikan peluang bagi sebarang penyelewangan berlaku kerana pembeli sedar ke mana wang mereka disalurkan secara terperinci dalam pembinaan kediaman mereka.
“BIM memastikan aset dibina dengan cara di mana arkitek, juruukur, pakar mekanikal dan elektrik, pengurusan kemudahan, semuanya berkongsi pengetahuan dan maklumat.
“Mereka kemudiannya berupaya meningkatkan kecekapan dan keberkesanan hartanah yang dibina demi pemaju dan pembeli, katanya.
BIM kini hanya diguna pakai kira-kira 10% dalam keseluruhan projek pembinaan di Malaysia.
Menurut Salim, penggunaan BIM dijangka akan meningkat ekoran galakan kerajaan ke atas pengunaan sistem ini bagi membina lebih banyak rumah mampu milik di masa hadapan.
#BIM #Business Information Modeling #rumah #rumah mampu milik