[TERKINI] Kes Zayn Rayyan: Ibu Dijatuhkan Hukuman Penjara – Ikuti Perkembangan di Sini!
BISNES

44 peratus PKS Malaysia yakin AI mampu pacu pertumbuhan tanpa tambah kos – Kajian Red Hat & NAIO

Yasmin Natasha 31/10/2025 | 08:15 MYT
Red Hat ialah peneraju teknologi awan hibrid terbuka, memberikan asas yang dipercayai, konsisten dan komprehensif untuk inovasi IT dan aplikasi AI.
KUALA LUMPUR : Sebanyak 44 peratus perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Malaysia yakin bahawa teknologi kecerdasan buatan (AI) mampu memacu pertumbuhan perniagaan tanpa menambah kos operasi.


Ringkasan AI
  • 44 peratus PKS di Malaysia yakin AI mampu memacu pertumbuhan perniagaan tanpa menambah kos operasi, menurut kajian Red Hat bersama NAIO melibatkan 133 PKS.
  • Penerapan AI masih di peringkat awal, dengan 36 peratus menjalankan projek perintis dan hanya 21 peratus menggunakannya secara menyeluruh; sumber terbuka dilihat sebagai cara mengurangkan kos dan jurang kemahiran.
  • Kerjasama kerajaan, industri dan akademia penting untuk membina ekosistem AI inklusif, bagi membolehkan PKS mengguna pakai teknologi ini secara mampu milik dan berimpak tinggi.


Satu kajian terbaharu telah dijalankan oleh Red Hat, Inc. dengan kerjasama Pejabat Kebangsaan AI Malaysia (NAIO) yang bertajuk “Accelerating SME AI Adoption Through Open Source in Malaysia’s Digital Future” dengan kerjasama firma penyelidikan bebas Ecosystm, melibatkan 133 PKS dari pelbagai sektor di seluruh negara.

Hasil kajian tersebut mencerminkan keyakinan tinggi PKS terhadap potensi AI sebagai pemacu daya saing, walaupun mereka berdepan tekanan ekonomi dan kekangan sumber.

Namun begitu, laporan turut mendedahkan bahawa ramai masih di peringkat awal penerapan teknologi itu, dengan 36 peratus sedang menjalankan projek perintis manakala hanya 21 peratus telah mengembangkan penggunaannya ke seluruh organisasi.

Pengurus Besar Red Hat bagi Rest of Southeast Asia, Albert Chai, berkata sumber terbuka membantu mengurangkan halangan bagi PKS.

"Antara halangan yang dapat dielakkan adalah seperti jurang kemahiran, kos infrastruktur dan pergantungan kepada vendor, sekali gus memberi kuasa kepada PKS untuk bereksperimen serta berkembang dengan lebih bertanggungjawab," katanya.

Red Hat dan NAIO menegaskan bahawa pembangunan ekosistem AI yang inklusif dan berasaskan kerjasama antara kerajaan, industri dan akademia amat penting bagi membantu PKS mencapai kematangan digital.

Sementara itu, Ketua Pejabat Kebangsaan AI, Shamsul Izhan menegaskan bahawa bagi Malaysia mencapai aspirasi menjadi peneraju AI serantau, PKS perlu diberi peluang mengguna pakai AI secara mampu milik, boleh dipercayai dan memberi impak nyata.

"Sumber terbuka berfungsi dalam ekosistem komuniti terbuka, iaitu komuniti yang terdiri daripada ramai penyumbang bebas yang sama-sama memastikan kod sentiasa dikemas kini. Jika ada masalah, mereka akan membaikinya dengan cepat. Dalam komuniti ini, semua saling memantau dan membantu antara satu sama lain," ujarnya.



#PKS #Teknologi kecerdasan buatan #RED HAT #tanpa menambah kos operasi