Terkini: Kes Kematian Zara Qairina – Ikuti Perkembangan di Sini
BISNES

5 cara kawal selia 'Buy Now, Pay Later' tanpa 'bunuh' inovasi

Nina Rozman 19/08/2025 | 05:30 MYT
BNPL boleh terus menjadi pemacu ekonomi digital jika kawal selia dilaksanakan dengan seimbang. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Perkhidmatan Buy Now, Pay Later (BNPL) semakin popular di Malaysia, terutamanya dalam kalangan golongan muda dan mereka yang tidak mempunyai akses kepada pinjaman tradisional seperti kad kredit.

Menurut Pengurus Agensi, Al-Aqyas Group Sdn Bhd, Azim Sulaiman, faktor utama yang mendorong trend ini adalah kerana BNPL bersifat mudah dan pantas tanpa perlu melalui proses rumit seperti syarat kelayakan gaji, semakan komitmen hutang atau prosedur ketat lain yang biasanya terpakai dalam permohonan kad kredit.

Menurutnya, berikut lima pendekatan utama untuk mengawal selia BNPL tanpa mengekang inovasi:

1. Ketelusan maklumat

Pengguna perlu tahu dengan jelas segala syarat sebelum menggunakan BNPL.

Ini termasuk caj tersembunyi, penalti bayaran lewat, dan kadar faedah yang dikenakan.

Dengan maklumat yang telus, pengguna boleh membuat keputusan tepat dalam memilih penyedia BNPL.

2. Semakan kemampuan kewangan

Aspek kedua yang penting ialah semakan kemampuan pengguna.

Sama seperti pinjaman tradisional, perlu ada garis panduan yang menentukan jumlah BNPL yang boleh diakses berdasarkan pendapatan bulanan seseorang.

"Contohnya, jika seorang pengguna bergaji RM3,000 sebulan, had maksimum BNPL yang layak dipohon harus ditetapkan agar tidak melebihi kemampuan bayaran balik

"Langkah ini penting bagi mengelakkan fenomena hutang berlebihan, khususnya dalam kalangan golongan muda," kata Azim.

3. Integrasi dengan sistem kredit

Pada masa ini, rekod BNPL masih belum dilaporkan kepada Central Credit Reference Information System (CCRIS) dan Credit Tip-Off Service (CTOS).

Rang Undang-Undang Kredit Pengguna yang sedang digubal menetapkan agar data BNPL dimasukkan ke dalam sistem kredit sedia ada.

Langkah ini akan memberi gambaran menyeluruh tentang tahap hutang individu, sekali gus meningkatkan perlindungan pengguna.

4. Pendekatan berasaskan risiko (Risk-Based)

Kawal selia BNPL perlu mengikut pendekatan berasaskan risiko, bukannya bersifat seragam (one size fits all).

Penyedia BNPL kecil dengan risiko rendah boleh diberikan syarat kawal selia lebih longgar, manakala syarikat gergasi dengan jutaan pelanggan seperti SPayLater, Grab PayLater dan Atome perlu tertakluk kepada syarat lebih ketat.

Sebagai contoh, semakan kewangan pengguna boleh dibuat berdasarkan tahap pendapatan. Bagi pengguna berpendapatan rendah, had BNPL wajar lebih kecil, sebaliknya, bagi mereka yang berpendapatan tinggi, kelayakan boleh ditingkatkan selaras dengan kemampuan.

Pendekatan sebegini bukan sesuatu yang baharu.

Industri perbankan dan insurans telah lama mengaplikasikan model risk-based ini.

5. Belajar daripada negara lain

Singapura melalui Monetary Authority of Singapore (MAS) telah pun mengguna pakai pendekatan berasaskan risiko dalam kawal selia fintech.

Malaysia boleh mencontohi amalan terbaik ini bagi memastikan BNPL berkembang sebagai inovasi kewangan yang bermanfaat, sambil mengekalkan perlindungan terhadap pengguna.

BNPL boleh terus menjadi pemacu ekonomi digital jika kawal selia dilaksanakan dengan seimbang.

Pendekatan berasaskan risiko, ketelusan maklumat, dan integrasi dengan sistem kredit akan memastikan pengguna dilindungi, sementara inovasi dalam sektor kewangan terus berkembang.






#Malaysia #BNPL #Rang Undang-Undang #Buy Now Pay Later