KUALA LUMPUR: Pengendali rangkaian 5G kedua atau Entiti B kelak akan menjalankan proses yang sama mengikut  tatakelola mereka dalam melantik vendor bagi penyedia perkakasan rangkaian 5G, kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching.

Sewaktu dalam sesi Kamar Khas di Parlimen pada Isnin, Ahli Parlimen Serdang itu berkata, proses tender terbuka untuk rangkaian kedua tersebut akan dilaksanakan oleh Digital Nasional Berhad (DNB), seperti mana sewaktu dimenangi Ericsson dahulu.

Beliau berkata, Pasukan Petugas Pelaksanaan Dwirangkaian 5G yang dipengerusikan secara bersama oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan Ketua Setiausaha KKD telah ditubuhkan pada Mei 2023 bagi memastikan peralihan kepada dwirangkaian 5G berjalan dengan lancar.

“Setakat ini, proses peralihan ini berjalan lancar meskipun terdapat beberapa isu yang akhirnya dapat diselesaikan melalui beberapa siri perbincangan yang diadakan bersama semua pihak berkepentingan.

“Akhirnya, matlamat utama yang ingin dicapai oleh kerajaan ialah penyediaan liputan perkhidmatan 5G yang menyeluruh pada harga yang berpatutan, di samping penerimagunaan teknologi 5G yang meluas dalam kalangan pihak perusahaan,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian ketika memberi maklum balas kepada ucapan Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, yang mempersoalkan tindakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dengan terbuka menyokong penglibatan Huawei secara terus.

Beliau berkata, tindakan itu menimbulkan pelbagai keraguan mengenai tatakelola kerajaan  Perpaduan di dalam pertimbangan dasar 5G negara.

Dalam pada itu Nie Ching berkata, kerajaan kekal dengan pendirian bahawa pemilihan vendor bagi  penyediaan perkakasan rangkaian adalah keputusan komersial oleh pihak syarikat penyedia perkhidmatan.

“Selaras dengan dasar pasaran yang terbuka, beliau berkata, kerajaan tidak pernah meletakkan sebarang syarat kepada pihak syarikat penyedia perkhidmatan dalam pemilihan vendor bagi penyediaan perkakasan rangkaian mereka.

"Selain itu, pelaksanaan model dwirangkaian itu adalah selari dengan amalan di negara-negara lain yang menawarkan kepelbagaian rangkaian bukan sahaja untuk rakyat, malah juga untuk sektor perindustrian yang merupakan antara kumpulan sasar penggunaan teknologi 5G.

“Model ini turut mengambil kira kemampanan ekosistem industri telekomunikasi di Malaysia dalam jangka masa panjang. Model dwirangkaian ini akan mewujudkan persaingan antara kedua-dua pihak yang membangunkan dua rangkaian 5G di Malaysia, sekali gus mendorong kepada pembinaan rangkaian mudah alih yang efisien, peningkatan inovasi dan pengoptimuman kos pelaksanaan.

“Perkara ini secara tidak langsung akan memberikan impak  positif kepada rakyat sebagai pengguna   melalui perkhidmatan yang berkualiti pada harga yang berpatutan,” katanya lagi.

Nie Ching berkata, kerajaan telah menilai semula dasar 5G negara dan berpandangan bahawa apabila pelaksanaan rangkaian 5G oleh DNB berada pada paras yang baik, iaitu apabila liputan 5G telah mencapai 80% liputan di kawasan berpenduduk.

Beliau berkata kerajaan berpandangan adalah sesuai untuk rangkaian 5G kedua dibangunkan bagi meningkatkan persaingan, sekali gus menamatkan unsur monopoli yang sering dikaitkan dengan  DNB.