5G: Keputusan kerajaan beri kepastian untuk semua pihak terbabit - Ericsson Malaysia

Bernama
Mac 17, 2022 06:47 MYT
Ericsson kekal komited untuk menyampaikan pengalaman 5G bertaraf dunia selain merapatkan jurang digital menerusi kerjasama dengan Digital Nasional Bhd (DNB) untuk rakyat Malaysia. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Ericsson Malaysia Sdn Bhd menyambut baik keputusan kerajaan berhubung rangkaian 5G dan yakin ianya memberi kepastian bagi membolehkan semua pihak terbabit dalam projek 5G Malaysia meneruskan usaha masing-masing dengan lebih jelas.
"Kami kekal komited untuk menyampaikan pengalaman 5G bertaraf dunia selain merapatkan jurang digital menerusi kerjasama dengan Digital Nasional Bhd (DNB) serta ekosistem teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang lebih luas untuk rakyat Malaysia," katanya kepada Bernama.
Ini sebagai mengulas keputusan kerajaan untuk mengekalkan pelaksanaan rangkaian 5G secara Rangkaian Borong Tunggal (SWN) dan turut membuka ruang kepada syarikat telekomunikasi memegang sehingga 70 peratus ekuiti dalam DNB.
Kerajaan telah menganugerahkan kontrak bernilai RM11 bilion kepada Ericsson yang juga firma Sweden, bagi merekabentuk dan membangunkan rangkaian telekomunikasi 5G Malaysia.
Dalam sidang media bersama semalam, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa berkata model SWN yang diterajui oleh DNB adalah berdasarkan "pemulihan kos" dan "berpandukan penawaran" dengan penyertaan ekuiti oleh syarikat telekomunikasi dan disifatkan sebagai penyelesaian terbaik bagi mempercepat pelaksanaan rangkaian 5G dengan objektif untuk menggalakkan rakyat menggunakan 5G.
Menurut Tengku Zafrul, penyertaan syarikat telekomunikasi dalam DNB akan membolehkan mereka untuk turut sama terlibat dalam pelaksanaan rangkaian 5G negara.
-- BERNAMA
#5G #Ericsson #Digital Nasional Bhd #Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz