Sabah Memilih: Senarai Calon Rasmi Diumum, Kempen Pilihan Raya Bermula – Ikuti Berita Terkini dari Setiap Lokasi!
BISNES

60 peratus penerima zakat Selangor bukan rakyat negeri - MB

Bernama 21/11/2025 | 11:00 MYT
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari ketika sesi soal jawab pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga DUN Selangor ke-15 Tahun 2025 di Bangunan Dewan Negeri Selangor pada Jumaat. - fotoBERNAMA
SHAH ALAM: Sebanyak 60 peratus penerima zakat di Selangor bukan berasal dari negeri ini, kata Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata negeri-negeri berhampiran Selangor menjadi penerima manfaat terbesar daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS), diikuti 10 peratus penduduk dari negeri pantai Timur, manakala baki adalah dari negeri lain.

"Semalam, apabila saya merujuk semula rekod penerima zakat, tidak semuanya lahir atau berasal dari Selangor.

"Itulah tanggungjawab yang perlu dipikul selaras dengan pertumbuhan ekonomi, migrasi penduduk dan peningkatan jumlah penduduk, selain usaha menanganai isu kemiskinan," katanya pada sesi penggulungan Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan 2026 di Dewan Negeri Selangor, di sini, hari ini.

Amirudin berkata kadar kemiskinan relatif di Selangor antara yang terendah, kedua selepas Pahang, dengan peratusan menurun kepada 8.5 peratus pada 2024 berbanding tahun sebelumnya.

"Jumlah mereka yang dianggap miskin di Selangor pada 2024 menurun kepada single digit. Selangor dan Pahang mencatat kadar kemiskinan relatif jauh lebih rendah berbanding negeri lain," katanya.

Amirudin menegaskan kerajaan negeri sentiasa mengemas kini program pembasmian kemiskinan setiap enam bulan dan menyemak data bulanan yang turut dilakukan LZS.

Ketua Pegawai Eksekutif LZS Mohd Khaidzir Shahari pada 23 April lalu dilaporkan berkata pihaknya telah mengagih dan menyantuni lebih 77,800 keluarga fakir dan miskin sepanjang 2024, peningkatan 19 peratus berbanding 2023.

Beliau berkata terdapat dua kriteria utama untuk menilai kemiskinan iaitu data Pejabat Pembangunan Negeri (ICU) bagi kemiskinan relatif atau tegar, dan penerima zakat. Kaedah penetapan Paras Garis Kemiskinan (PGK) berbeza dengan kriteria zakat.

"PGK di Selangor adalah RM2,949, tetapi zakat mengambil kira jumlah anak, tanggungan, ibu bapa, aset termasuk rumah atau sewa, serta pelbagai program lain. Ini menjelaskan peningkatan penerima," katanya.

"Kemiskinan tegar di Selangor menurut data terkini ICU pada Julai/Ogos menunjukkan hanya seorang lagi individu berada dalam kategori ini," tambahnya.

-- BERNAMA



#Selangor #penerima zakat #Lembaga Zakat Selangor LZS #Amirudin Shari