[TERKINI] Syed Saddiq Dilepas dan Dibebaskan | Mahkamah Rayuan Ketepikan Sabitan Kes Dana Armada – Klik untuk Laporan Penuh
BUSINESS

AFFIN Group pacu pembiayaan rentas sempadan untuk pengambilalihan Cold Storage di Singapura

Shaznina Rozman 09/05/2025 | 06:15 MYT
Sesi fotografi selepas majlis menandatangani kerjasama strategik antara AFFIN Group dan Macrovalue di Menara Affin @ TRX, Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: AFFIN Group memperkasa pelaburan strategik merentas sempadan dengan menyediakan pembiayaan RM500 juta kepada Macrovalue Six Sdn Bhd (MV6).
Pembiayaan ini menyokong pengambilalihan penuh 100% ekuiti Cold Storage Singapore (1983) Pte Ltd daripada DFI Retail Group Management Limited.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AFFIN Group, Datuk Wan Razly Abdullah berkata, inisiatif ini mencerminkan komitmen AFFIN dalam memperkasakan pertumbuhan perniagaan rentas sempadan.
“Ini menunjukkan keupayaan kami dalam menyediakan penyelesaian kewangan rentas sempadan yang inovatif dan memperkasakan pertumbuhan perniagaan ASEAN.
“Pembiayaan ini juga selari dengan visi AFFIN Axelerate 2028 (AX28) yang memfokuskan kepada Khidmat Pelanggan Tiada Tandingan, Kepimpinan Digital dan Perbankan Bertanggungjawab dengan Impak,” kata Wan Razly.
Transaksi ini melibatkan pemerolehan 89 rangkaian peruncitan di Singapura, termasuk 48 cawangan Cold Storage di bawah jenama CS Fresh dan CS Gold, 41 cawangan Giant, serta dua pusat pengedaran.
Melalui inisiatif ini, Macrovalue dijangka memperkukuh kedudukan Cold Storage sebagai jenama peruncitan premium di Singapura, sambil memperluaskan akses kepada produk berkualiti dan mampu milik.
Dengan kemudahan kewangan yang disediakan oleh AFFIN, pengambilalihan ini dijangka memperkukuh hubungan perdagangan antara Malaysia dan Singapura serta meningkatkan kecekapan operasi rantaian bekalan serantau.
Langkah ini dilihat sebagai strategi untuk memperluaskan akses pasaran, memperkukuh rantaian bekalan, dan mempertingkat kecekapan peruncitan di kedua-dua negara.
Pada masa sama, AFFIN Group turut mencatat pencapaian bersejarah dalam perjalanan 50 tahunnya apabila menerima penarafan antarabangsa A3 daripada agensi penarafan kredit terkemuka, Moody’s.
Ini merupakan kali pertama AFFIN Group menerima pengiktirafan sedemikian, sekali gus menandakan keyakinan pasaran terhadap kekuatan asas perbankan kumpulan tersebut.
Sehingga 18 Feb 2025, AFFIN Bank memiliki rangkaian sebanyak 134 cawangan di seluruh Malaysia.
#Affin Group #Macrovalue #cold storage #Singapura