Sabah Memilih: Senarai Calon Rasmi Diumum, Kempen Pilihan Raya Bermula – Ikuti Berita Terkini dari Setiap Lokasi!
BISNES

Afrika Selatan rakan dagang, pelaburan penting Malaysia - Tengku Zafrul

Bernama 23/11/2025 | 09:15 MYT
Tengku Zafrul berucap swaktu menghadiri majlis pertemuan dengan diaspora Malaysia di Johannesburg. - Foto FB Tengku Zafrul
JOHANNESBURG: Hubungan perdagangan dan pelaburan dengan Kesatuan Afrika, khususnya Afrika Selatan menjadi keutamaan kepada negara, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.


Ringkasan AI
  • Hubungan perdagangan dan pelaburan antara Malaysia dan Afrika Selatan menjadi fokus utama, dengan Afrika Selatan menjadi rakan dagang terbesar Malaysia di Afrika pada 2024 dengan nilai perdagangan dua hala sebanyak RM7.82 bilion.
  • Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Zafrul Abdul Aziz menekankan kepentingan hubungan erat ini untuk memberi manfaat bersama kepada rakyat dan negara, sambil menghargai sumbangan warga Malaysia di luar negara dalam memperluas jaringan perdagangan.
  • Malaysia mencatat pertumbuhan KDNK yang kukuh sebanyak 5.2 peratus pada Suku Ketiga 2025, dengan pelaburan lulusan sebanyak RM285.2 bilion setakat sembilan bulan pertama tahun ini, di mana Pelaburan Asing menyumbang 52.9 peratus daripadanya.


"Afrika Selatan adalah rakan dagang terbesar Malaysia di Afrika pada 2024, dan sebagai pelabur asing terbesar dari Kesatuan Afrika, kita berharap hubungan erat ini terus mekar dan memberi manfaat bersama demi rakyat dan negara," katanya menerusi hantaran di laman media sosial beliau selepas menghadiri majlis pertemuan dengan diaspora Malaysia di sini.

Pada 2024, Afrika Selatan merupakan rakan dagang terbesar Malaysia di benua Afrika, dengan jumlah perdagangan dua hala bernilai RM7.82 bilion (AS$1.71 bilion).

Eksport Malaysia ke Afrika Selatan pula berjumlah RM3.84 bilion (AS$840 juta), manakala import berjumlah RM3.98 bilion (AS$870 juta).

Tengku Zafrul berkata Kerajaan MADANI sentiasa menghargai sumbangan setiap warga Malaysia di perantauan sebagai duta yang memainkan peranan penting dalam memperluas jaringan dan melonjakkan maruah negara di persada dunia.

"Saya mengambil peluang untuk berkongsi aspirasi negara dalam kunjungan rasmi ke Ethiopia dan Afrika Selatan setakat ini, dengan fokus utama pada misi teras MITI untuk meningkatkan perdagangan dan pelaburan.

"Inilah masa untuk kita terus meningkatkan kedudukan Malaysia di persada global. Negara kita mencatatkan pertumbuhan KDNK yang kukuh sebanyak 5.2 peratus pada Suku Ketiga 2025, dan kita berada di landasan yang tepat untuk mencapai sasaran pertumbuhan 4 peratus hingga 4.8 peratus bagi tahun 2025," katanya.

Setakat tempoh sembilan bulan pertama 2025, Malaysia telah menarik pelaburan yang diluluskan berjumlah RM285.2 bilion, dengan Pelaburan Asing (FI) menyumbang 52.9 peratus daripadanya.

Tengku Zafrul menyertai delegasi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini dalam siri lawatan ke tiga negara di benua Afrika, iaitu Ethiopia, Afrika Selatan dan Kenya yang bermula 18 hingga 24 November, 2025.

Anwar dijemput menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin Kumpulan 20 (G20) di Johannesburg sebagai tetamu Presiden Afrika Selatan Cyril Ramaphosa atas kapasiti Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025.

Selepas Johannesburg delegasi yang turut disertai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, pegawai kanan kerajaan Malaysia serta delegasi perniagaan itu akan meneruskan rangka lawatan ke Nairobi, Kenya dari 23 hingga 24 Nov sebelum pulang ke tanah air.

-- BERNAMA






#hubungan dagang Malaysia #Afrika Selatan #Tengku Zafrul #pelaburan