BISNES

Agenda mampan, pendigitalan berterusan jamin daya tahan pertumbuhan ASEAN - ACCA

Bernama 03/11/2025 | 04:25 MYT
Real-Martin berkata, selaras dengan matlamat Malaysia untuk melahirkan 60,000 akauntan profesional menjelang 2030, ACCA bekerjasama rapat dengan Kementerian Kewangan, MIA dan universiti tempatan untuk tujuan itu. - Foto ACCA
KUALA LUMPUR: Ketika Malaysia menutup tirai Kepengerusian ASEAN dengan penganjuran Sidang Kemuncak 2025, momentum mengenai kemampanan dan pendigitalan kini perlu diterjemahkan kepada tindakan jangka panjang melalui pembangunan kapasiti, tadbir urus yang beretika, dan piawaian bersama untuk memastikan pertumbuhan rantau ini kekal berdaya tahan dan inklusif.


Ringkasan AI
  • Malaysia menutup Kepengerusian ASEAN 2025 dengan menekankan kemampanan dan pendigitalan sebagai teras utama pembangunan rantau ini, yang perlu diteruskan melalui tadbir urus beretika, piawaian bersama dan pembangunan bakat jangka panjang.
  • ACCA menyokong usaha ini melalui penyelarasan pelaporan kemampanan ASEAN, pembangunan akauntan profesional sebagai pemangkin peralihan hijau, serta penerapan etika dan integriti dalam pelaporan dan penggunaan AI.
  • Di Malaysia, ACCA bekerjasama dengan MIA, MARA dan universiti tempatan bagi melahirkan lebih ramai akauntan profesional menjelang 2030, memastikan kemampanan dan transformasi digital memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat ASEAN.


Pengarah Eksekutif Perhubungan Persatuan Akauntan Bertauliah (ACCA) Lucia Real-Martin berkata kepimpinan Malaysia telah menjadikan kemampanan dan pendigitalan sebagai teras utama agenda ekonomi rantau ini.

"Langkah seterusnya adalah memastikan kesinambungan, dengan menerapkan keutamaan ini dalam pembangunan kapasiti jangka panjang, piawaian bersama dan tadbir urus beretika," katanya kepada Bernama.

Menurut Real-Martin, ACCA membantu untuk mengekalkan legasi ini melalui kerjasamanya dengan Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN-BAC) termasuk Kolaboratif Sokongan Pelaporan Kemampanan ASEAN (ASRAC) yang dilancarkan semasa Kepengerusian Malaysia.

Inisiatif ini bertujuan untuk menyelaraskan pelaporan kemampanan di seluruh ASEAN menerusi Lembaga Piawaian Kelestarian Antarabangsa (ISSB) di samping menyesuaikannya dengan konteks tempatan -- usaha yang akan mengukuhkan tadbir urus, bakat dan pendedahan secara konsisten.

Beliau baru-baru ini berada di Malaysia dan berucap pada sesi fokus mengenai perancangan masa depan mampan ASEAN menerusi Sidang Kemuncak Perniagaan dan Pelaburan ASEAN (ABIS 2025) serta mengadakan beberapa pertemuan dengan wakil sektor awam dan swasta.





Profesional Kewangan Sebagai Pemangkin Peralihan Hijau



Real-Martin berkata golongan profesional dalam bidang kewangan dan perakaunan memainkan peranan penting dalam menyokong peralihan hijau ASEAN serta agenda pelaburan mampan di rantau ini.

Beliau berpendapat bahawa golongan ini menterjemahkan matlamat kemampanan kepada hasil yang boleh dipercayai dan boleh diukur, mengenal pasti risiko alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), membimbing keputusan pelaburan yang mampan dan memastikan integriti dalam pendedahan.

"Penyelidikan ACCA menunjukkan bahawa akauntan profesional berperanan penting dalam menghubungkan matlamat dengan prestasi," katanya sambil memaklumkan ACCA akan terus bekerjasama dengan pengawal selia, universiti dan majikan untuk membangunkan keupayaan yang diperlukan untuk memastikan pelaporan dan jaminan kemampanan yang boleh dipercayai sekali gus menarik lebih banyak pelaburan hijau.

Real-Martin turut berkongsi tiga jurang utama dalam landskap pelaporan kemampanan ASEAN iaitu rangka kerja yang berasingan, peraturan yang tidak konsisten dan kekurangan bakat mahir, yang kesemuanya menjejaskan penjajaran serantau.

Memetik laporan ACCA bertajuk Sustainability Reporting in ASEAN: An Overview of Current Developments, beliau berkata, "Penyelarasan berdasarkan piawaian ISSB adalah penting untuk membina keyakinan dan memastikan kebolehbandingan pelabur."

Beliau berkata ACCA melaksanakan pelaburan dalam modal insan melalui pendidikan profesional dan pembangunan berterusan yang menerapkan kemampanan, etika dan jaminan dalam kurikulum kewangan teras bagi memastikan agenda kemampanan di rantau ini kekal boleh dipercayai dan boleh dilaburkan.





Membina Kepercayaan Digital dan AI Bertanggungjawab



Real-Martin turut menekankan keperluan untuk mewujudkan rangka kerja etika yang kukuh dalam transformasi digital ASEAN, dengan kepercayaan digital sebagai asas kepada ekonomi digital.

Memetik laporan AI Monitor ACCA, beliau berkata profesional kewangan berada pada kedudukan yang baik untuk berperanan sebagai penjaga digital, menerapkan skeptisisme profesional, etika dan kebertanggungjawapan bagaimana AI dan data digunakan.

"Melalui kerjasama dengan agensi seperti Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan kementerian berkaitan digital negara, ACCA sedang menggalakkan penggunaan AI yang bertanggungjawab dan meningkatkan jaminan dalam keselamatan siber dan ketelusan algoritma," katanya.

Real-Martin berkata ACCA menyokong pembangunan bakat inklusif dengan memperluas akses kepada pendidikan profesional terutama kepada wanita, penduduk luar bandar dan mereka yang kurang mendapat peluang.

Beliau berkata di Malaysia, kerjasama dengan Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Institut Akauntan Malaysia (MIA) bertujuan untuk meningkatkan peluang kepada pelajar Bumiputera dan memperkukuh kerangka yang akan membangunkan bakal akauntan negara bagi memastikan apabila ekonomi ASEAN berkembang, semua pihak berpeluang untuk turut serta dan meraih manfaat daripada peralihan itu.

Selaras dengan matlamat Malaysia untuk melahirkan 60,000 akauntan profesional menjelang 2030, ACCA bekerjasama rapat dengan Kementerian Kewangan, MIA dan universiti tempatan untuk memperluas akses dan mempercepat laluan kelayakan.

"Melalui inisiatif seperti ACCA Accelerate, platform pembelajaran digital dan biasiswa bersasar, kami sedang melengkapkan profesional dengan kemahiran dalam bidang kemampanan, data dan jaminan digital.

"Tumpuan kami bukan sahaja kepada angka malah untuk membangunkan profesional yang bersedia untuk masa depan yang boleh menerajui transformasi mampan dan digital Malaysia," katanya.

Memandang ke hadapan, Real-Martin menegaskan bahawa kerjasama merupakan teras kejayaan dalam fasa seterusnya pembangunan ASEAN.

"Kerajaan, pengawal selia, pendidik dan sektor swasta perlu bekerjasama dalam menetapkan metrik yang konsisten, membina kapasiti serta memperkasakan pembangunan bakat.

"Melalui pandangan global dan kerjasama serantau, kami membantu mentransformasikan aspirasi bersama menjadi hasil ekonomi yang boleh diukur, yang menjadikan kemampanan dan pertumbuhan digital sebagai kekuatan utama ASEAN pada fasa seterusnya," katanya.

-- BERNAMA


#Kepengerusian ASEAN 2025 #ACCA #Lucia Real-Martin #akauntan profesional