Agihan keuntungan Tabung Haji 2022 diumum awal suku kedua tahun ini

Bernama
Mac 1, 2023 09:39 MYT
Sebelum ini agihan keuntungan TH dilaksanakan pada suku pertama tahunan berdasarkan kedudukan kewangan awal. - Fail/Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH) akan mengumumkan agihan keuntungan bagi tahun 2022 pada awal suku kedua tahun ini selepas kedudukan kewangannya selesai diaudit dan diluluskan.
TH dalam kenyataan hari ini memaklumkan keputusan itu mengambil kira saranan penambahbaikan serta maklum balas awal Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI), selaras dengan usaha TH untuk memperkukuhkan operasi, pengurusan dan tadbir urus institusi haji negara.
"Sebelum ini agihan keuntungan dilaksanakan pada suku pertama tahunan berdasarkan kedudukan kewangan awal.
"TH terus kekal komited untuk memberi agihan keuntungan yang mampan dan stabil selari dengan mandat penubuhannya mengurus simpanan umat Islam Malaysia bagi tujuan menyempurnakan Rukun Islam kelima," menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
#Tabung Haji #agihan keuntungan #TH #RCI