[LAPOR LANGSUNG] 9 rakyat Malaysia ditahan rejim Israel
BISNES

Agong dipersembahkan cadangan Belanjawan 2026

Bernama 09/10/2025 | 04:30 MYT
Dokumen dipersembahkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Istana Bukit Tunku, di sini hari ini. - Foto FB Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini berkenan menerima persembahan cadangan Belanjawan 2026 yang dijadual dibentangkan di Dewan Rakyat esok.


Ringkasan AI
  • Sultan Ibrahim terima cadangan Belanjawan 2026 yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat esok oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
  • Belanjawan MADANI Keempat fokus kepada kebajikan rakyat, pengukuhan ekonomi dan asas negara yang inklusif serta mampan.
  • Perbahasan Belanjawan dijadual berlangsung selama lapan hari di Peringkat Dasar, diikuti sesi Jawatankuasa sehingga 27 November sebelum kelulusan.


Menurut hantaran di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, dokumen itu dipersembahkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Istana Bukit Tunku, di sini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan ketika memberikan taklimat berkaitan Belanjawan 2026 kepada editor media di Putrajaya semalam, berkata Belanjawan Kerajaan MADANI Keempat itu akan menumpukan kepada usaha membela rakyat, memperkukuh ekonomi serta memperteguh asas negara yang mampan dan inklusif.

Berdasarkan Aturan Urusan Mesyuarat di laman Parlimen, Perdana Menteri dijadual membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 di Dewan Rakyat pada 4 petang esok.

Rang undang-undang itu akan dibahaskan Ahli-ahli Parlimen selama lapan hari di Peringkat Dasar sebelum sesi penggulungan oleh kementerian pada 29 Okt hingga 4 Nov, diikuti perbahasan di Peringkat Jawatankuasa dari 5 hingga 27 Nov untuk kelulusan Dewan Rakyat.

-- BERNAMA




#Belanjawan 2026 #Yang di-Pertuan Agong #Anwar Ibrahim #Cadangan Belanjawan